Oleh Bahadur Hishamuddin
Bila terpandang nama Zakhir di ruangan kpmu.net, menjadi tajuk rencana, kemudian lihat gambarnya berdiri tersengeh sebelah kiri Tun Mahathir, memang pasti saya kenal orang besar ini. Sebelah kanan Mahathir pula tercegat tumpang tui ialah Salahuddin yang juga bukan asing pada saya. Beliau pun tidak kurang bermain kotor dalam blognya.
Tetapi dalam ertikata sebenar, mereka berdua sudah menjadi makhluk asing dalam UMNO terutama Zakhir yang mempunyai blognya sendiri yang diwujudkan semata-mata untuk menjunjung Datuk Mukhriz Mahathir ke langit.
Ramai juga yang giat membuka blog untuk Mukhriz tetapi blog Zakhir benar-benar lain kerana jelas beliau telah cuba dengan sedaya upaya memberi gambaran negatif kepada pelayar-pelayar laman webnya supaya menanam satu macam benci pada Khairy Jamaluddin.
Memang benar kata penulis yang menulis rencana bertajuk ‘Sdr Zakhir -Jangan politikan kerjaya orang lain kerana taksub kepada seseorang’ yang nampaknya sudah menunjukkan betapa bebasnya Zakhir cuba mengusik orang seperti Rashid Yusof setelah gagal meletakkan Mukhriz sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sewaktu pemilihan lalu.
Sebelum ini, Zakhir telah ‘menggosok’ bahu Mukhriz mengatakan KJ akan kalah kerana dia sudah sumbat macam-macam supaya perwakilan pemuda semua benci pada KJ. Setiap kali Mukhriz mendengarkan kata ampu bodek Zakhir orang harapannya yang dipercayai sangat berpengaruh kononnya, Mukhriz akan tersenyum lebar.
Tetapi malangnya keadaan tidak begitu. Kiralah undi itu walaupun 20 kali, KJ sudah dari awal-awal lagi sudah menang. Memang tidak dapat dinafikan, pengira undi pun macam hairan KJ boleh menang, tetapi hakikatnya pemuda sudah lebih bijak dan yang meluat dengan terlalu banyak tohmahan terhadap KJ, mereka fikir lebih baik berikan undi pada KJ.
Yang penyokong Mukhirz terutama pemain blog termasuk Zakhir, mereka hanya ada satu modal untuk mengecam KJ iaitu dengan mengatakan KJ rasuah. Orang lain tidak. Yang mengamalkan rasuah hanyalah KJ sedangkan difinasi rasuah yang disebutkan itu amat berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.
Sayang Zakhir tidak ada peluang untuk mengatakan KJ lemah, bodoh, tidak berkarisma, tidak pandai jaga pemuda, tidak ada visi kerana semua itu tidak ada dalam diri KJ. Sebaliknya, lawan KJ pula yang demikian. Paling banyak, Zakhir boleh puji Mukhriz putih, handsome, baik dan mudah senyum. Itu pun dalam banyak acara, Mukhriz macam terpingga-pingga.
Kelebihan yang Zakhir boleh tonjolkan pasal Mukhriz hanyalah Mukhriz itu anak Tun Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama 23 tahun. Mujurlah semasa dia jadi perdana menteri selepas beberapa tahun, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein tak panjang umur. Kalau mereka berdua panjang umur, Mahathir akan lebih teruk dikerjakan daripada Mahathir kerjakan Tun Abdullah.
Yang menghairankan saya tentang sikap orang seperti Zakhir, kenapa selepas KJ menang ketua pemuda yang sudah menjadi rezeki dia atas petunjukNya, Zakhir masih lagi melalak mengaitkan KJ dengan tohmahan yang bukan-bukan lagi. Habis orang KJ hendak dikaitkan tidak berguna pada mata dan hatinya sedangkan orang yang ‘membesarkan’ Zakhir itu sudah mendapat tempat istimewa dalam saf Najib yang baru.
Saya sangat setuju dengan kata penulis rencana itu slogan Mukhriz yang mahukan pemuda berubah tidak dapat mengubah minda Zakhir yang bukan calang-calang orang kalau diukur dari tahap pendidikannya. Tetapi sayang seribu kali sayang, Zakhir tidak kenal dengan perkataan perubahan yang dituntut oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Maksud lebih jauh lagi, Najib ingin melihat bangsa Melayu mempunyai pemikiran yang tiada langsung berperasaan hasat dengki, bongkak, suka memburuk-burukkan orang lain atas satu sebab terlalu taksub dan diperalatkan terhadap seseorang.
Yang menyokong calon kalah nampaknya lebih teruk pula dari yang benar-benar kalah. Mukhriz tu sudah senyap dah macam ular kenyang dapat jawatan juga walaupun kalah kerana Najib kasihan melihat dia ‘menggigit jadi’, tapi janganlah pula Zakhir berlebih-lebih mahu memijak lawannya yang menang pula. Patutnya, ketika inilah Zakhir membuat jambatan supaya pemuda yang sudah agak dalam keadaan bertempiaran hari ini kembali bersatu membantu perdana menteri menjalankan kerja dengan kemas dan teratur.
Kalau orang seperti Zakhir masih ingat musim berkempen Ketua Pemuda belum habis dan akan terus berlarutan dan belum habis-habis lagi mengecam KJ, pergilah basuh muka tu dengan air sejuk. Bilas baik-baik dan bukalah mata kamu yang kita bukan lagi sedang berkempen. Kita semua sudah menerima apa yang telah ditentukan dan apa yang dihidangkan untuk kita terus berjuang membantu perdana menteri baru kita.
Zakhir dengan sekutunya atau siapa saja rakan-rakan yang terus menerus mahu memberi tekanan kepada KJ tolonglah hentikan kerja terkutuk itu sebelum bala menimpa diri akibat kadaq dari Allah nanti. Perlulah sedar bahawa kecacatan dari awal lagi telah ditunjukkan pada diri tuan itu. Besar tubuh tuan itu tidak sebesar hati tuan punya badan.
Kalau ya pun nak mengampu Tun Mahahir dan anaknya, janganlah sampai mahu menabur racun pada dulang perjuangan orang lain yang telah terbukti sokongan yang terlalu berlebihan tidak langsung membawa faedah dan keuntungan kepada pengidam sesuatu jawatan. Tumpukanlah membantu bangsa kita yang sudah jauh ketinggalan dan memerlukan satu penyatuan yang terhindar daripada cakap-cakap kosong dan fitnah memfitnah tanpa tahu hujung pangkalnya. Cukuplah Zakhir.
No comments:
Post a Comment