JUN 10 —Sebagai sebuah institusi bukan berkerajaan bersifat maya, Yayasan Institut Pendidikan Untuk Penyelidikan Politik Nasionalisme Malaysia (YATUKATULIPONAMA)[1] menyambut baik pengumuman Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan bahawa Biro Tatanegara (BTN) akan menganjurkan kursus-kursus dan seminar-seminar untuk menjelaskan kepada rakyat tentang konsep 1 Malaysia.
Berlandaskan cogankata “People First; Performance Now” (Orang Satu; Persembahan Sekarang), konsep 1 Malaysia ini, pada pendapat kami, adalah amat tepat pada masanya. Ini adalah kerana interpretasi cogankata ini, yang di pelopori oleh Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri yang kita sanjungi, terlalu kerap di putar-belitkan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, terutama sekali kaum muda (berhaluan kiri dan komunis) di pihak pembangkang.
Memang tidak boleh disangsikan, kaum muda era ini tidak peka kepada sejarah Persekutuan Tanah Melayu (dan Sabah Sarawak) sehinggakan mereka perlu diberikan tunjuk ajar serta iktibar supaya lebih menyedari usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Umno dan parti-parti dibawahnya. Usaha, pengorbanan dan semangat tolak-ansur yang telah, dan masih, ditunjukkan oleh Umno dan rakan-rakan dibawah telunjuknya merupakan asas tunjang yang membawakan kepada kelahiran konsep 1 Malaysia.
Inilah antara intipati penting yang perlu diterapkan ke dalam sanubari rakyat jelata. Terutama sekali kaum muda, yang semakin tidak menghargai, malah mengkhianati, kewibawaan dan keperihatinan orang-orang yang terdahulu daripada mereka (daripada berbilang kaum) dalam mempertahankan kesinambungan keharmonian negara Malaysia.
Oleh itu, dengan izin, YATUKATULIPONAMA ingin menyarankan kepada BTN supaya menilai satu cadangan tentang isi kandungan seminar 1 Malaysia yang kami ketengahkan seperti berikut. Cadangan ini adalah untuk seminar satu hari.
Program Seminar Sehari 1 Malaysia Anjuran Biro Tatanegara Dibawah Naungan YAB Dato' Seri Perdana Menteri
07.30 – 08.30: Pendaftaran peserta Seminar 1 Malaysia Anjuran Biro Tatanegara
08.30 – 09.00: Sarapan pagi
09.00: Ketibaan daif-daif kehormat ke dalam dewan seminar
09.15: Ketibaan tetamu kehormat. (Di sini, kami mencadangkan YAB Perdana Menteri ataupun YAB Timbalan Perdana Menteri. Sekurang-kurangnya Naib Presiden Umno merangkap Menteri Dalam Negeri. Juga disusuli oleh Presiden-Presiden Parti MCA, MIC, Gerakan, PPP (yang sah) dan lain-lain)
09.20 – 09.30: Bacan do'a pembukaan seminar
09.30 – 10.30: Ucapan Perasmian Seminar 1 Malaysia Anjuran Biro Tatanegara oleh Tamu Kehormat.
10.30 – 10.45: Pemberian Cenderahati kepada Tamu Kehormat dan daif-daif.
10.45 – 11.00: Minum pagi (Kami mencadangkan karipap dan kopi)
11.00 – 12.00: Ucapan-ucapan daripada wakil-wakil parti-parti komponen Barisan Nasional yang bukan Umno.
12.00 – 12.30: Penerangan daripada Pengarah Program 1 Malaysia berkenaan arahtuju kerajaan dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia
12.30 – 13.30: Makan Tengahari
13.30 – 14.15: Sembahyang jemaah beramai-ramai untuk peserta Islam. Bebas untuk yang bukan Islam.
14.15 – 15.00: Program penghayatan sejarah Tanah Melayu (dan Sabah Sarawak), bermula daripada Empayar Melaka kepada pemberontakan oleh Umno menentang Malayan Union sehingga membawa kepada kemerdekaan.
15.00 – 16.00: Program penghayatan sejarah Malaya dan seterusnya Malaysia, dengan mengupas kembali ucapan-ucapan yang telah diberikan oleh pemimpin-pemimpin negara seperti Dato' Syed Ja'afar Albar, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan supaya peserta dapat menilai sendiri kepentingan keharmonian yang telah dipupuk selama ini.
16.00 – 16.30: Minum petang (Kami mencadangkan mihun goreng dan kopi)
16.30 – 17.00: Sembahyang jemaah beramai-ramai untuk peserta Islam. Bebas untuk yang bukan Islam.
17.00 – 17.45: Pecahan kepada kumpulan kerja bagi mengupas dan memberi cadang-ulas berkenaan konsep 1 Malaysia.
17.45 – 18.15: Persembahan daripada ketua-ketua kumpulan kerja mengenai konsep 1 Malaysia dan aspirasi peserta-peserta seminar.
18.15 – 18.45: Pemberian cenderahati dan sijil kedatangan kepada peserta-peserta seminar.
18.45: Majlis Bersurai.
Adalah menjadi harapan kami, dengan penuh semangat patriotik and rasa rendah diri, bahawa cadangan kami diatas dapat diberikan pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan. Sejurus daripada itu, sekiranya cadangan kami disambut dengan baik, kami juga bersedia untuk mengorak isi kandungan bagi kursus 1 Malaysia yang lebih panjang, sebagai contoh program selama 3 hari, untuk menjadikan usaha BTN lebih praktik, hatta lebih berkesan.
Seterusnya, kami juga bersedia untuk diberikan kontrak untuk menganjurkan program seminar dan kursus 1 Malaysia bagi pihak BTN, melalui syarikat 100% Bumiputera kami, Ontahmano Enterprise Sdn Bhd (modal diluluskan RM20,000,000, modal berbayar RM2).
Kami sedar bahawa usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni keharmonian, kesejahteraan dan patriotisme 1 Malaysia merupakan satu usaha yang tentunya mencabar, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menawarkan keringat and titik-peluh kami secara sukarela demi negara yang tercinta.
[1] Atau lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, Malaysian Institute of Learning Foundation for Political Research On Nationalism (MILF-PRON)[2]
[2] Cogankata kami: Alang-alang menyeluk pekasam, biar dulu makan garam.
Yusseri is an engineer by training, a consultant by accident and a company man by necessity. He wishes that people would stop calling him to sell life insurance. It's death insurance he's looking for. He writes rubbish at http://www.mentera.org/ and pretends to be an intellectual at http://www.othermalay
sia.org/
No comments:
Post a Comment