20090622

Hayati konsep 1Malaysia untuk pupuk perpaduan nasional

1MALAYSIA bukan satu gagasan baru bahkan satu realiti kontemporari yang perlu di dokong oleh rakyat Malaysia. Ia menidakkan rasisme kaum, ketidakadilan sosial mahupun meminggirkan prinsip Rukun Negara dan asas perlembagaan.

Justeru, kita mesti menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Ulang tahun Keputeraan baginda supaya rakyat menghayati konsep 1Malaysia sebagai kesinambungan usaha kerajaan memupuk perpaduan nasional sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.

Sebagai satu kekuatan baru, rakyat perlu bersatu, berkongsi rahmat dan bertanggungjawab terhadap tanah air dan kita mesti memainkan peranan masing-masing jika ingin kedamaian abadi. Dalam konteks ini, Malaysia bertuah mempunyai kekuatan fizikal, ekonomi dan pemimpin yang berani lagi berpandangan jauh.


Namun, sejak akhir-akhir ini rakyat Malaysia berasakan satu perubahan perlu di lakukan demi menjana kelangsungan hidup politik baru. Persoalannya apakah perubahan yang di maksudkan? Untuk apa dan bagaimana kaedahnya? Kenapa perlu diadakan perubahan landskap politik nasional? Siapakah yang menggerakkan politik baru ini? Media baru atau fahaman demokrasi baru yang menuntut perubahan ala reformasi yang didalangi kuasa ekonomi neo-liberalisme?

Yang pasti politik Malaysia di persimpangan jalan. Seperti kenyataan dalam buku Ahmad Atori (2009) Politik Melayu Di Persimpangan, jika Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN)/Umno terus berantakan, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dibalut rasa kebencian dan konflik yang tidak menguntungkan rakyat dalam jangka masa panjang.

Justeru, selagi darah mengalir dan jantung berdegup, kita mesti muhasabah diri demi menjamin kecemerlangan bangsa dan menjulang tamadun Melayu-Islam betapa slogan 1Malaysia memungkinkan segala dasar kerajaan difahami dan dihayati rakyat. Bahkan, 1Malaysia bukan omong kosong tetapi satu jenama yang mesti dilestarikan selagi kemajmukan Malaysia dilihat sebagai aset bukan sebaliknya.

Malaysia akan terus maju jika kita ikhlas dan jujur baik dalam BN mahupun sebagai rakyat patriotik yang tidak lupa sejarah dan mahu bekerja sebagai pasukan bukan sekadar berkumpulan. Jihad politik dan ekonomi mesti diagendakan dalam setiap perjuangan politik selagi kita mahu tentangan globalisasi dan arus kapitalisme pemodal dibendung. Untuk itu, satu bentuk semangat dan kekuatan politik Melayu baru perlu dibentuk dalam konteks semangat" rakyat dibela dan pencapaian di utamakan".

Politik Melayu-Islam mesti diinstitusikan ke arah pencapaian Misi Nasional dan Wawasan 2020 yang menuntut keadilan sosial dan pengagihan kemewahan negara yang saksama. Malah, dasar perjuangan kita mesti mengutamakan falsafah berpaksikan ketuanan Melayu-Islam dan kedaulatan institusi kesultanan yang menjadi simbol kedaulatan dan ketamadunan Melayu bukan sebaliknya.

PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi
USM, Pulau Pinang.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com