20090621

Pendirian terbaru Pas perkukuh kuasa Melayu

Oleh Abdul Rahman Sulaiman


PEMIMPIN Pas bercanggah pendapat mengenai isu kerajaan perpaduan hingga menyebabkan Nik Aziz mengarahkan Nasharuddin (dua dari kanan) mengosongkan kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sekarang.

Konsep kerajaan perpaduan disuarakan Hadi buka jalan kerjasama lebih erat dengan Umno

DATUK Seri Najib Razak kelmarin mengulangi pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka terhadap cadangan dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penubuhan kerajaan perpaduan.

Sambil menyatakan keyakinan beliau terhadap keikhlasan pemimpin Pas di sebalik cadangan itu, Perdana Menteri berkata pihaknya bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa juga cadangan yang akan dikemukakan oleh parti berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.


Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang jelas teruja dengan reaksi positif Najib itu berkata beliau akan memaklumkan perkembangan terbaru itu kepada bosnya, yang kini berada di luar negara.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sejak awal lagi tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan cetusan Hadi itu nyata tidak dapat menahan kemarahannya apabila beliau mencabar Nasharudin meletakkan jawatan nombor dua dalam parti itu yang baru beliau menangi minggu lalu.

Nik Aziz juga mahukan Nasharuddin mengosongkan kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sekarang. Adalah jelas bahawa perkembangan terkini dalam Pas itu hanya secebis daripada kekeliruan, suasana kelam kabut dan tidak menentu yang mewarnai pemikiran ahli politik tanah air berikutan perubahan landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Seperti dijelaskan dalam ruangan ini minggu lalu, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 membawa bersamanya dinamisme yang pantas berubah dan mempengaruhi pemikiran serta hala tuju tokok politik negara.

Perubahan pemikiran politik ini dipercayai tidak hanya terhad kepada pemimpin Pas, malah turut melanda parti lain termasuk di kalangan anggota komponen Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya ada dua aliran utama yang menguasai pemikiran ahli politik negara kini.

Salah satunya ialah mereka yang masih percaya dan mahu meneruskan sistem politik berasaskan kaum yang diamalkan sejak merdeka. Di bawah sistem ini, parti politik dikelolakan menurut kaum dan kemudian digabungkan dalam gabungan lebih besar, tetapi masing-masing parti berjuang mengikut kepentingan mereka.

Kuasa pemerintahan dikongsi bersama di kalangan anggota komponen yang besar dan jika perlu masing-masing parti bertolak ansur untuk mengelak pertelingkahan dan menjamin keharmonian untuk kepentingan negara.

Inilah formula diamalkan sejak merdeka oleh parti Perikatan, kemudiannya dikenali sebagai BN yang berjaya mengekalkan keamanan dan membawa negara ke tahap kemakmuran yang dinikmati sekarang.

Hadi dan rakannya dalam Pas yang kelihatan begitu beriya-iya mengetengahkan idea kerajaan perpaduan ini dipercayai mewakili golongan yang masih meyakini konsep politik perkongsian kuasa itu.

Memang bukan satu rahsia lagi bahawa ramai pemimpin Melayu beranggapan bahawa perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 memperlihatkan banyak fenomena yang menjurus kepada kemungkinan terhakisnya kuasa politik dan institusi Melayu.

Satu lagi golongan ialah mereka yang berpendapat bahawa era politik berasaskan kaum tidak lagi relevan sekarang. Mereka melihat keputusan pilihan raya umum lalu sebagai isyarat jelas yang menandakan apa yang mereka sifatkan sebagai 'berakhirnya hegemoni politik Melayu di Malaysia.'

Sebagai alternatif, mereka menawarkan apa yang mereka dakwa sebagai pendekatan politik pelbagai kaum yang tidak membezakan masyarakat menurut kaum. Hasrat mereka ialah untuk mewujudkan budaya dan perjuangan politik berdasarkan kelas, bukan kepentingan kaum yang diamalkan selama ini.

Golongan ini diwakili pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan sebahagian pemimpin Pas. Walaupun pada asasnya, parti mereka juga berdasarkan kaum, mereka jelas menentang dasar dan program yang dianggap berbau perkauman seperti dasar ekonomi baru, sistem kuota untuk pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi, kemasukan ke perkhidmatan awam dan sebagainya.

Siapa yang akhirnya akan berjaya dalam pertembungan dua pemikiran politik yang bertentangan ini hanya boleh ditentukan oleh rakyat sebagai pengundi apabila tiba masanya.

Bagaimanapun, soal yang lebih penting ialah sama ada penolakan sistem perkongsian kuasa yang nyata berjaya sejak lebih 50 tahun lalu dan menggantikannya dengan sistem pelbagai kaum mampu menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini, sukar untuk diramalkan.

Lebih sukar lagi untuk ditelaah apa yang akan terjadi sekiranya pendekatan politik yang didakwa bukan perkauman itu akan berakhir � sama ada secara tidak sengaja atau sengaja, dengan golongan minoriti memonopoli kuasa.

Inilah hakikat yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh golongan yang tidak serik-serik memperlekeh sistem yang ada sekarang.

Kalau dilihat daripada perspektif ini, pendirian politik terbaru yang diambil oleh Hadi, Nasharudin dan orang yang menyokong mereka dalam Pas adalah lebih wajar, praktikal dan bertanggungjawab. Mungkin pemimpin lain dalam BN perlu juga memikirkan perkara ini demi kepentingan masa depan negara dan bangsa Malaysia.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com