20090622

Mousavi sedia syahid

TEHERAN 21 Jun - Pemimpin pembangkang Iran, Mirhossein Mousavi sudah 'bersedia untuk mati syahid' dalam mengetuai protes yang telah menggegarkan Republik Islam ini dan mencetuskan amaran pertumpahan darah daripada pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

Mousavi semalam juga menggesa mogok umum dilancarkan di seluruh negara jika beliau ditangkap.

Sebaik sahaja senja berlabuh, laungan Allahu Akbar bergema dari atas bumbung bangunan di seluruh utara Teheran selama hampir sejam malam tadi, sama seperti taktik yang pernah digunakan semasa revolusi Islam 1979 yang menjatuhkan Shah Iran.

Dalam tindakan penuh simbolik, seorang pengebom berani mati meletupkan diri di makam bapa revolusi Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, sementara kekacauan terus merebak di seluruh Teheran tanpa menghiraukan larangan ke atas demonstrasi.

Televisyen kerajaan hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya 19 orang maut dan lebih 100 lagi cedera dalam kekacauan tersebut.

Polis pencegah rusuhan yang dikerahkan secara besar-besaran melepaskan tembakan gas pemedih mata, serta menggunakan belantan dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Saksi berkata, dianggarkan 2,000 hingga 3,000 orang membanjiri jalan raya dalam tindakan yang jelas mencabar Khamenei yang menggunakan ucapannya kelmarin, untuk mengesahkan kemenangan besar Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam pilihan raya yang dipertikaikan.

Pencabar beliau yang tewas, Mousavi berikrar beliau tidak akan mengalah.

"Dalam ucapan di barat daya Teheran, Mousavi berkata, beliau bersedia untuk mati syahid dan beliau akan terus mengikut jalan perjuangan ini," kata seorang sekutu rapat bekas Perdana Menteri itu semasa perhimpunan di Jalan Jehyun di Teheran.

Menurut saksi, Mousavi juga dipercayai sudah bersedia untuk menghadapi sebarang tindakan terhadap dirinya.

"Mousavi menggesa penduduk melancarkan mogok umum jika beliau ditangkap," kata saksi itu.

Mousavi mengulangi tuntutannya agar keputusan pilihan raya tersebut dibatalkan dan pengundian diadakan semula.

"Langkah-langkah jelik (penipuan dalam pilihan raya) sudah dirancang berbulan-bulan sebelum pengundian... disebabkan semua pencabulan yang dilakukan, pilihan raya itu patut dimansuhkan," kata Mousavi dalam suratnya kepada badan perundangan tertinggi Iran, Majlis Penjaga. - Reuters

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com