|
|
SEOUL 1 Jun – Korea Utara telah memindahkan peluru berpandu jarak jauh paling canggih miliknya yang mampu mengenai sasaran di Alaska, Amerika Syarikat (AS), ke tapak pelancaran di pantai barat negara komunis itu yang bersempadan dengan China.
Laporan terbaru mengenai tindakan Pyongyang itu meningkatkan lagi ketegangan di semenanjung Korea setelah ia mengharamkan kapal melalui perairan pantai baratnya sehingga penghujung bulan depan.
Menurut laporan akhbar Dong-a Ilbo hari ini yang memetik kenyataan tidak rasmi pegawai di Washington dan Seoul, ujian peluru berpandu jarak jauh mungkin diadakan pertengahan bulan ini ketika Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dan Presiden AS, Barack Obama menghadiri sidang kemuncak di Washington.
Peluru berpandu di tapak pelancaran Dongchang-ni di barat laut Korea Utara dipercayai adalah versi roket Taepodong-2 yang dilancarkan pada 5 April yang didakwa negara komunis itu sebagai pelancaran satelit. Akhbar JoongAng llbo menerbitkan laporan yang sama.
Pelancaran peluru berpandu jarak jauh yang baru, jelas akan meningkatkan lagi ketegangan selepas ujian serupa pada April lalu yang diikuti dengan ujian nuklear bawah tanah minggu lalu.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kini masih membincangkan cara untuk menghukum Pyongyang atas tindakannya itu.
Korea Utara turut menahan dua orang wartawan AS, Laura Ling dan Euna Lee yang dituduh memasuki negara itu secara haram dan terlibat dalam ‘aktiviti permusuhan’.
Mereka akan dibicarakan Khamis ini di Pyonyang.
Myung-bak yang mempengerusikan sidang kemuncak dengan pemimpin Asia Tenggara di Pulau Jeju, selatan Korea Selatan, memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak melakukan sebarang provokasi. – AP
No comments:
Post a Comment