20090618

BN jadi pilihan jika pemimpin hayati 1Malaysia

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pilihan rakyat jika konsep '1Malaysia � Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' menjadi pegangan setiap pemimpin dan wakil rakyat BN.

Perdana Menteri berkata, senario dan persekitaran politik hari ini jauh berbeza berbanding suatu ketika dulu, dengan setiap pemimpin dan wakil rakyat BN tidak harus memandang ringan perkara ini.

"Apa yang kita buat mestilah untuk rakyat. Kalau anda (pemimpin BN) ingat itu, anda tidak akan salah. Senario politik sekarang lain, jangan ambil ringan persekitaran politik baru negara.


"Kita perlu berubah dan menyuntik kesegaran dalam pendekatan kita menerusi konsep 1Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan malam bersama rakyat semua kaum di sini, malam tadi.

Najib berkata, BN adalah satu-satunya parti di sebuah negara mengamalkan demokrasi yang masih berkuasa begitu lama, justeru, setiap pemimpin dan wakil rakyat BN mesti membuktikan parti itu sanggup menerima perubahan.

"Kita harus menerima konsep toleransi dan kemajmukan sebagai aset dan kekuatan kepada Malaysia, bukan sebagai satu bebanan," katanya sambil menambah jika kekuatan setiap masyarakat dan etnik digabung, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang kuat.

Beliau berkata, keadilan sosial juga menjadi tonggak utama konsep 1Malaysia, dengan kerajaan BN pasti akan terus mendapat sokongan jika bersikap dan bertindak adil.

Mengenai Sarawak, Najib berkata, negeri ini mempunyai potensi amat pesat terutama menjadi pusat penghasilan tenaga murah yang dapat disalurkan ke Semenanjung.

"Semenanjung tidak lagi mampu bergantung kepada sumber tenaga sedia ada dengan kita terpaksa membina Empangan Bakun bagi membolehkan tenaga disalurkan ke Semenanjung, selain potensi penghasilan pulpa dan peleburan aluminium," katanya.

Sementara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Landasan Tambahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Hotel Four Points by Sheraton, Najib berkata, projek berkenaan akan menjadi nadi baru kepada pembangunan negeri ini.

"Perhubungan amat penting bagi sebuah negeri yang pesat membangun dengan kerajaan Pusat melihat keperluan kepada Sarawak memiliki lapangan terbang yang mempunyai kapasiti lebih besar," katanya. "Saya percaya dua projek yang bernilai RM1 bilion ini akan mampu membawa ekonomi negeri ini ke tahap yang lebih tinggi bagi kemakmuran rakyat," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com