20090620

Protes undi di Iran berlarutan


PENYOKONG Ahmadinejad mengadakan perarakan beramai-ramai penyokong pemimpin mereka itu di Teheran, kelmarin.

Dua pihak masih bertelagah selepas kemenangan besar Ahmadinejad

TEHERAN: Lautan rakyat Iran masih membanjiri jalan raya di Teheran dalam tunjuk perasaan di antara dua pihak yang bertelagah selepas kemenangan besar Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada pilihan raya Jumaat lalu, menyebabkan krisis berkenaan yang masuk hari keempat semalam, menjadi lebih tegang.

Bakal memburukkan lagi keadaan ialah apabila calon reformis yang kalah Mir Hossein Mousavi mendesak orang ramai sekali lagi keluar membanjiri jalan raya Teheran hari ini untuk membantah keputusan pilihan raya berkenaan dan mengecam keganasan terhadap perhimpunan pengikutnya.

Desakan itu mencabar secara langsung saranan pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei yang kelmarin menasihatkan Mousavi membuat tuntutannya melalui sistem pilihan raya negara itu.


Kenyataan Mousavi itu juga dikeluarkan seketika selepas tentera Iran memberi amaran kepada pengendali lama web agar tidak mengeruhkan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Isnin lalu beratus ribu penyokong Mousavi memenuhi jalan raya di tengah-tengah Teheran menuju ke dataran Azadi dalam perhimpunan antikerajaan terbesar sejak revolusi Islam pada 1979.

Tujuh orang terbunuh selepas perhimpunan itu bertukar ganas apabila orang ramai mula bersurai.

Kerajaan sebelum ini cuba meredakan keadaan dengan mengambil langkah mengira semula undi di beberapa kawasan yang terhad.

Namun pada masa sama ia menahan beberapa penyokong Mousavi termasuk Hamid Reza Jalaipour, seorang pakar sosiologi yang berkempen untuk tokoh reformis itu.

Saeed Laylaz, seorang penganalisis politik dan ekonomi, juga ditahan di rumahnya oleh empat polis berpakaian reman, kata anggota keluarga.

Kedua-dua mereka adalah wartawan terkenal.

Sebilangan lagi pemimpin reformis dan wartawan ditahan.

Sementara itu, berikutan perhimpunan besar-besaran proMousavi Isnin lalu, pihak berkuasa menghalang wartawan � termasuk rakyat Iran yang bekerja untuk media asing - daripada membuat laporan di jalan raya. Mereka hanya dibenarkan bekerja dari pejabat, melakukan temu bual melalui telefon dan memantau sumber rasmi seperti laporan televisyen kerajaan.

Sebilangan wartawan asing diminta keluar dari Iran kerana kerajaan tidak menyambung visa yang diperoleh bagi membuat liputan pilihan raya Jumaat lalu, � AP/AFP

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com