20090627

Tun Ghaffar Bersedia Terima PKM



Isu komunis: Ghafar Baba pernah pujuk Abdullah CD pulang*

Polemik isu kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanah air terus hangat diperdebatkan di media-media arus perdana.

Sama ada muslihat politik atau kebetulan, isu asalnya iaitu usaha membawa pulang Chin Peng, 85, atas dasar kemanusiaan, ditenggelamkan dengan sentimen mengungkit kembali peristiwa hitam peperangan dan darurat yang sudahpun tersimpan dalam lipatan sejarah negara ini.

Namun di sebalik kontroversi berterusan itu, tidak ramai yang menyedari hakikatnya seorang pemimpin negara ini sendiri pernah memujuk pemimpin PKM serta para pengikutnya yang bermastautin di selatan Thai untuk pulang menetap di Malaysia pada satu ketika dulu.

Pemimpin tersebut ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba yang bertandang dan bersua sendiri dengan bekas Pengerusi PKM Abdullah CD, di Kampung Perdamaian Sukhirin, Yala beberapa tahun lalu.
Peristiwa itu didedahkan sendiri oleh antara individu yang terlibat mengusahakan pertemuan tersebut, Sheikh Badar Sheikh Embong kepada Siasah baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Agung MAYC itu berkata, pertemuan tersebut berlaku sejurus selepas Tun Ghafar meletak jawatan pada 1996. Atas inisiatif beliau sendiri, Ghafar pada mulanya telah mencari rakan-rakannya yang boleh membawa beliau menemui kumpulan bekas komunis yang menetap di utara tanah air itu.
“Pada ketika itulah Tun Ghafar mencari dan menemui saya lalu memberitahu hasratnya untuk berjumpa dan memujuk Abdullah CD dan rakan-rakannya di selatan Thai supaya pulang ke tanah air. Selepas itu saya terus mencari Mokhtar Baginda,” kata Sheikh Badar.

Menurut Sheikh Badar, Mokhtar Baginda ialah seorang wartawan dan kakaknya juga tinggal di Kampung Perdamaian Sukhirin. Dengan bantuan beliau selepas itu dapatlah diatur satu pertemuan di Yala melibatkan Tun Ghafar dan Abdullah CD ditemani seorang lagi pemimpin PKM, Abu Samah Mohd Kassim. Sheikh Badar sendiri hadir dalam pertemuan kira-kira dua jam yang diselubungi penuh rasa persaudaraan itu.

“Saya dengar sendiri Tun Ghafar berkata baliklah ke Malaysia sebab tanah air kita sekarang dah aman dan maju… jadi baliklah. Saya lihat Abdullah CD kemudian menolak dengan baik. Dia tidak bersedia untuk pulang ke tanah air kerana percaya hidup mereka tidak akan aman sebab akan diekori polis sepanjang masa”.

“Kata Abdullah lagi, di Malaysia mereka tidak punya harta lagi. Sedangkan mereka di situ raja Thailand kurniakan mereka tanah getah seluas 8 ekar seorang. Jadi kata Abdullah, mereka boleh bekerja, aman dan bergerak bebas”.
Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) merupakan kawasan bermastautin bekas anggota PKM yang dibangunkan selepas perjanjian damai antara tiga pihak melibatkan Kerajaan Malaysia, PKM dan Kerajaan Thailand di Haadyai pada 2 Disember 1989.

Abdullah C.D, atau nama sebenarnya Cik Dat Anjang Abdullah, 86, diiktiraf sebagai pemimpin kehormat kampung berkenaan setelah dianggap banyak memberi sumbangan dalam pembangunan kampung dan mempertingkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

Beliau merupakan pengasas dan komander Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya yang ditubuhkan pada 21 Mei 1949 di Lubok Kawah, Temerloh, Pahang yang menentang penjajahan Inggeris secara gerila. Anggota sayap bersenjata berbangsa Melayu itu terdiri daripada ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Malaya (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang telah diharamkan oleh Inggeris.

Berkenaan isu kepulangan Chin Peng, Sheikh Badar yang juga bekas AJK Umno Bahagian Pekan itu berkata, beliau hairan kenapa Chin Peng tidak dibenarkan pulang seperti rakan-rakannya Musa Ahmad, dan Shamsiah Fakeh.

“Kenapa Chin Peng tak boleh balik sedangkan Abdullah CD dipujuk untuk balik? Jadi kalau dari segi komunis, apa bezanya Abdullah CD dengan Chin Peng? Kecualilah jika kerajaan melihat isu ini atas semangat Melayu”.
“Secara peribadi saya setuju atas dasar kemanusiaan, Chin Peng dibenarkan balik. Sebab setahu saya kerajaan sendiri pernah tawarkan anggota komunis balik dulu. Mungkin juga Chin Peng menyuarakan hasrat untuk balik itu setelah mengambil kira tawaran tersebut”.

“Menurut Sheik Badar, perkara yang sudah lepas itu biarlah berlalu menjadi sejarah… kenapa media beria-ia membongkar semula kisah kezaliman komunis. Inilah yang membuatkan hati mereka yang terlibat luka kembali. Lagi satu kena ingat bahawa masa itu ialah dalam tempoh dan zon perang dan kena ingat yang komunis berjuang menentang penjajah British”.

Sheikh Badar kemudian memetik kata-kata Abdullah CD: “……sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah, saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang garila ini. Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai kemerdekaan……”
*Artikel ini dipetik dari laman http://sidangonline.net tulisan Sdr.Khairy Atan

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com