20090315

Kenyataan Media Berhubung Krisis Politik Di Perak

DMPP sangat memandang serius akan kemelut politik terkini di Perak. Adalah suatu yang sangat malang bilamana pemerintahan sebuah kerajaan negeri ditentukan oleh beberapa orang pengkhianat yang gundah gulana akibat daripada masalah yang mereka sendiri cipta dan undang.

Pengkhianatan yang telah dibuat oleh tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang - PKR), Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering - PKR) dan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang - DAP) yang berpaling tadah kepada BN hanya kerana merasakan diri mereka sudah tidak diperlukan oleh parti masing-masing serta tidak pasti akan nasib mereka di dalam PR wajar dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua makhluk yang ada di atas bumi bahkan juga di atas langit!.

Sikap mereka ini jelas amat bertentangan dengan kedudukan mereka sebagai seorang Wakil Rakyat yang seharusnya meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi yang sempit.

DMPP menyedari betapa dua ADUN PKR yang terbabit dalam mewujudkan kekecohan politik ini jelas merupakan liabiliti kepada PR khususnya dan masyarakat pengundi di Perak amnya. Apatah lagi mereka ini terlibat dengan skandal rasuah dan kerosakan moral yang jelas di awal pemerintahan PR di Perak.

DMPP secara tegas menyifatkan bahawa PR dan rakyat hakikatnya tidak rugi sedikitpun dengan ketiadaan mereka di dalam PR. Namun suatu yang amat malang, menjelekkan dan mempamerkan kemuncak kebodohan pemimpin tertinggi BN ialah bila mana individu seperti ini diterima pula masuk ke dalam BN semata-mata bagi membolehkan BN membuat rampasan kuasa tanpa mandat yang sah daripada para pengundi di negeri Perak. Terlebih malang bila mana di belakang semua kejadian ini adalah orang yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia yang sudahpun terpalit dengan pelbagai skandal serta masih belum dibersihkan!

DMPP berpendapat betapa konflik terbaru politik Perak ini merupakan satu lagi ulangan sejarah hitam dalam demokrasi negara bilamana sebuah kerajaan sah yang diangkat melalui proses Pilihan Raya Umum Ke-12 akhirnya dijatuhkan secara tidak bermaruah dan ala gengster oleh Regim BN yang konsistan untuk tidak dapat menerima penolakan rakyat serta kekalahan mereka dalam mana-mana Pilihan Raya di negara ini.

Pengalaman sejarah politik tanahair yang lepas telah pernah membawa warga kita menyaksikan jatuhnya beberapa kerajaan negeri yang dipilih secara sah seperti Terengganu [1961], Kelantan [1978] dan Sabah [1994] gara-gara ketamakan kuasa Regim Perikatan yang kini juga dikenali sebagai Regim Barisan Nasional. BN diakui sangat pakar darihal menggunakan strategi suapan kebendaan, pujuk, rayu dan andainya itu semua tidak berjaya maka BN tanpa segan silu akan menggunakan pula strategi ugut dan ancam bagi memastikan survival politik mereka! BN selamanya mendakap falsafah politik Machiaveli – Niat Menghalalkan Cara!

DMPP menginsafi bahawa BN bilamana berjaya mengekalkan kuasanya akan sering berlagak sebagai seorang abang baik yang menasihati adik-adiknya yang kalah bahkan meminta mereka untuk bersatu hati kononnya bagi membangunkan negara juga negeri. Ironinya, watak BN akan drastik berubah bilamana ia tewas. BN akan lupa akan nasihatnya sendiri dan akan berterusan menimbulkan huru hara serta kekacauan sehinggalah mereka menemukan apa yang mereka dambakan sepertimana yang berlaku dalam krisis perlembagaan terkini di Perak. Hakikatnya BN lah pencetus huru hara dan porak peranda dalam politik negara setelah secara rakus selama lebih 50 tahun memporak perandakan ekonomi dan kekayaan negara.

DMPP juga ingin menegaskan bahawa PAS dan PR tidak pernah kemaruk kuasa. PAS selama lebih 50 tahun di persada politik tanahair sangat konsistan untuk memelihara perpaduan bahkan kestabilan negara. PAS khususnya dan PR amnya sudah melalui siri pengalaman kalah dan menang dalam PRU secara matang. Bahkan kita bersedia untuk melepaskan pemerintahan PR di Perak atau di mana-mana sahaja seandainya itu yang diinginkan oleh warga pengundi bagi mana-mana negeri kerana kita berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keikhlasan pemimpin dan rakyat yang dipimpin.

Justeru itu, DMPP menyokong penuh keputusan Menteri Besar Perak, YAB. Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin yang membuat pendirian bagi menasihati Tuanku Sultan agar membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak. Keberanian itu wajar dihormati secara bijaksana oleh semua pihak yang berkuasa dan wajar pula disambut secara ”anak jantan” oleh kepimpinan BN.

Nasihat MB Perak kepada Tuanku Sultan bagi membubarkan DUN Perak adalah wajar bagi membolehkan rakyat diberi ruang dan peluang seadilnya bagi membuktikan pihak mana yang mereka mahu pilih untuk memimpin kerajaan negeri. Rakyat bagi Negeri Perak tidak sewajarnya dipaksa menerima sebuah kerajaan baru yang dibentuk dengan membelakangi prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

DMPP sangat menyedari betapa telah berlaku satu ”rampasan kuasa” di negeri Perak dan mahu agar semua institusi perundangan serta keadilan dalam negara ini mengambil pendirian yang jelas berpaksikan kepada prinsip berani kerana benar.

Sikap beberapa pihak berkuasa yang seolah membutakan mata terhadap realiti sebenar permasalahan yang timbul di Perak sangat dipersoalkan. Tindakan SPR yang ternyata mendahului dan mengambil tugas mahkamah ternyata menjadi punca utama kepada kemelut yang diciptakan atas kepentingan pihak tertentu dan para pedagang yang bersuakakan kuasa.

Amat malang bagi pihak-pihak tertentu yang selama ini bercakap soal moral, penghormatan terhadap mandat rakyat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang serta pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan judiciary tetapi kemudian akhirnya tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah membelakangi semua prinsip tersebut ketika mana membuat satu-satu keputusan yang sangat penting.

Sesungguhnya, perkembangan terbaru ini dipercayai akan menambah kemusnahan ke atas kepercayaan umum terhadap integriti semua pihak dan institusi yang terlibat dalam insiden ”rampasan kuasa” yang hakikatnya bukan menjadi budaya rakyat negara kita. Ketika ini kita seolah-olah disogokkan oleh BN dan konco-konconya dengan satu ajaran sesat dan budaya politik liar dalam subjek politik tanah air iaitu ”rampasan kuasa” dan tentunya ia bakal memberi implikasi yang sangat buruk juga ”signal” serta ”didikan yang sangat tidak baik kepada rakyat khususnya generasi muda.

Nah, kalau insiden yang sama berlaku sekurang-kurangnya 15 tahun yang lepas iaitu di Sabah barangkali agak jauh untuk difahami dan diingati oleh kita khususnya generasi muda, maka apa yang dilakukan sekali lagi oleh BN pada hari ini percayalah akan menjadi panduan yang sangat berharga dan bukti sejarah paling terkini untuk rakyat seutuhnya mengusung janji bagi mentalkinkan UMNO-BN secara tuntas dalam ammarah, kemaraan serta kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar pada PRU-13 yang akan datang!

DMPP juga menyelar tindakan media elektronik dan cetak yang berterusan tanpa insaf membuat laporan serta ulasan yang songsang serta berat sebelah terhadap apa yang sebenarnya berlaku di Perak. Untuk kesekian kalinya, media terus mengamalkan budaya berita dan lapor yang sangat tidak profesional bahkan gagal membentuk bahkan merosakkan budaya pemikiran intelek masyarakat Malaysia. Pengiktirafan media elektronik dan cetak yang melaporkan bahawa ADUN Pangkor sebagai Menteri Besar Perak (yang baru) meskipun belum sah mengangkat sumpah bahkan Menteri Besar Perak yang sememangnya telah wujud masih sah kedudukannya dilihat sangat keterlaluan dan tidak beretika.

DMPP juga mencabar Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien Onn yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang wewenangan merumuskan kepada media sepertimana yang tersiar dalam Utusan Malaysia bertarikh 6 Februari bahawa kononnya rakyat sudah semakin sedar dan menolak PR, agar berani berhadapan dalam Pilihan Raya Kecil DUN Perak sepertimana yang diminta oleh MB Perak, Datuk Seri Ir Mohd. Nizar yang juga merupakan harapan majoriti rakyat di Perak khususnya dan Malaysia amnya. Mari kita sama-sama menjunjung ungkapan keramat : “Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah!”

DMPP sangat berdukacita terhadap segala kecelaruan yang berlaku dan mendesak agar demokrasi di negeri Perak dipulihkan segera dengan memberi laluan kepada Pilihan Raya bagi keseluruhan kerusi DUN Perak.

Bukan menjadi budaya dan sikap kita PAS untuk menafikan institusi Raja. Justeru DMPP menjunjung kasih ke bawah Duli As Sultan Perak sebagai idola rakyat yang mendambakan keadilan dan sebagai ikon kita rakyat Malaysia; DMPP merafak sembah, merendah hina agar institusi mulia ini meneliti kembali realiti sebenar kemahuan rakyat di bawah. DMPP menegaskan bahawa semua itu akan nantinya terjawab secara jujur menerusi pemilihan di peti undi.

Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata agar tidak terjebak dengan emosi perkauman sempit dan melulu dalam menghadapi krisis ini. Kita akan hadapinya dengan penuh kewarasan dan sungguhlah benar Jihad Yang paling Besar Adalah Berkata Benar Di Hadapan Pemimpin Yang Dzalim. Kembalikan Kuasa Rakyat! Allahu Akbar!



Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

6 Februari 2009, Perlis .

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com