20090312

Perbicaraan Anwar: Hakim Putuskan Kes ke Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan rayuan dari pihak pendakwaraya untuk memindahkan kes perbicaraan Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohamad Zabidin Md Diah berkata, arahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara Abdul Gani Patail adalah sah sekaligus menolak permohonan bantahan dari pihak peguambela Anwar.

Hakim Mohamad Zabidin turut menolak keputusan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, SM Komathy yang sebelum ini mengekalkan kes tersebut untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Perkara ini akan didengar di Mahkamah Sesyen pada hari Selasa minggu hadapan dan penetapan tarikh akan diadakan untuk pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.

Barisan peguam Anwar akan mengemukakan rayuan atas keputusan ini pada hari esok.

Peguam beliau, Sankara Nair berkata, beliau kecewa sebaik dimaklumkan akan keputusan hakim tersebut.

Pada 7 November lalu, Hakim Komathy menolak permohonan untuk memindahkan kes tersebut, sambil berkata “kes ini menimbulkan situasi yang unik di mana sebarang pembabitan Abdul Gani Patail dalam kes ini akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kehakiman kes jenayah”.

Komathy juga dilapor berkata, terdapat persefahaman bahawa Abdul Gani Patail tidak akan terbabit dalam kes ini. Jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad selepas ditemui Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Abdul Gani masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), ekoran laporan polis yang dibuat oleh Anwar yang mendakwa berlaku pengubahan bahan bukti dalam kes ‘mata lebam’ pada 1988.

PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com