FEB 19 — Sepanjang Februari ini, kontroversi tiga isu moral melibatkan wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang hangat diperkatakan.
Lompat parti, menderhaka kepada raja dan skandal seks di kalangan wakil rakyat pembangkang menyebabkan tumpuan terarah kepada pakatan itu sepanjang bulan ini.
Bagi sesetengah pihak, kegawatan dalam pakatan itu adalah "hiburan politik" semata-mata dan dibaca sebagai lumrah. Tetapi pihak yang lain menganggap ia memualkan.
Kenapa isu-isu tersebut menjadi kontroversi bukan lagi sesuatu yang menarik dibincangkan. Sebaliknya, apa yang dipersoalkan ialah cara pimpinan pakatan itu mendepani isu-isu moral. Lagak dan sikap mereka bagai orang “gila talak” yang terlalu sukar menerima hakikat.
Strategi mereka terang-terang defensif keterlaluan, tidak rasional dan kadang-kadang di luar batasan semata-mata mahu mengalih tumpuan atau mencuri simpati rakyat.
Yang peliknya, Barisan Nasional terus-terusan dijadikan sasaran. Pemimpin BN dituduh merancang konspirasi jahat menjatuhkan wakil-wakil rakyat pembangkang menerusi pendedahan skandal demi skandal.
Yang terbaru, kes gambar bogel exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong dari Parti Keadilan Rakyat. Sepantas kilat BN dituduh dalang menjatuhkannya.
Begitu juga ketika peletakan jawatan wakil rakyat Bukit Selambau dari PKR, V. Arumugam, yang dikaitkan dengan skandal seks. BN turut dituduh terlibat menjatuhkannya.
Dalam kes Wong, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kesimpulan, BN yang merangka pelan konspirasi jahat terhadap Wong dan pakatan pembangkang.
"Ada satu corak serangan melanda wakil rakyat pembangkang di Perak, Kedah dan Selangor. Cara ini kerja keji dan jahat," kata Anwar.
Pemimpin pembangkang terus menutup salah mereka. Kalau wakil rakyat BN berdepan kes-kes moral, mereka tidak kata itu konspirasi sebaliknya mendesak pemimpin itu meletak jawatan.
Dalam kes video adegan seks bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek misalnya, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar senada menganggap ia memalukan dan meminta polis melakukan siasatan secara menyeluruh.
Tetapi dalam kes Wong, ia tidak dilihat daripada unsur moral wakil rakyat itu tetapi niat jahat kerajaan.
Istilah konspirasi menjadi popular apabila Anwar menggunakan strategi mengalih tumpuan umum — iaitu menuduh wujud konspirasi jahat BN — bermula pada 1997 ketika beliau berdepan tuduhan liwat.
Sehingga ini, sebarang kes moral melibatkan pemimpin atau wakil rakyat pembangkang disebut sebagai konspirasi BN.
Harus diingat, sebelum beliau didakwa atas tuduhan liwat, BN sudah diserang habis-habisan oleh pembangkang. Ketika itu mereka minta kerajaan siasat seorang pemimpin kanannya yang terlibat kes seks luar tabii.
Tetapi apabila Anwar dipecat daripada kerajaan, pembangkang ikut rentak Anwar mengatakan tuduhan dihadapinya suatu konspirasi BN.
Tuduhan bahawa BN merancang konspirasi menjatuhkan Anwar sekali lagi dicanang apabila beliau berdepan kes liwat terbaru, tahun lalu.
Baru-baru ini, apabila BN membentuk kerajaan negeri di Perak, pembangkang menuduh BN tidak bermoral kerana menarik wakil-wakil rakyat pakatan itu untuk lompat parti.
Sedangkan, sejak pilihan raya umum lalu, Anwar yang memulakan “kempen lompat parti” menjaja ke mana-mana kononnya beliau akan berjaya menarik wakil-wakil rakyat BN untuk pembentukan Kerajaan Pusat baru pada 16 September 2008.
Apabila Sultan Azlan Shah membenarkan pembentukan kerajaan BN dan melantik Menteri Besar Perak baru, mereka saman Sultan dan sanggup jadi penderhaka.
Inilah potret lama politik pakatan pembangkang di bawah dominasi Anwar, mereka tidak berubah.
Semua salah laku dan kejengkelan jika berlaku kepada pemimpin BN akan dianggap sebagai "haram serta kotor" tetapi ia menjadi "halal" jika membabitkan pembangkang. — Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment