20090604

MB Perak : Asal Kapas Dah Jadi Benang


PANTUN Melayu,

Asal kapas dah jadi benang
Dari benang dibuat kain
Barang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain.

Maksud pantun ini, jelas. Jika suatu ketika dahulu, jawatan Menteri Besar Perak adalah milik Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kerana Paduka Seri Sultan Perak menggunakan kebijaksanaannya membuat perlantikan, hari ini atas kebijaksanaan Paduka Seri Sultan juga, membuat perlantikan terhadap YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Apakah sukar untuk menerima hakikat ini? Hilang jawatan bukan hilang nyawa. Hilang nyawa pun bukan hilang segala-galanya, jika kita ada ilmu yang baik diajarkan kepada manusia, amal jariah dan anak yang soleh yang mendoakan kita.

Saya teringat pesan orang-orang tua, biarlah hilang kawan, hilang jawatan, hilang kereta, hilang rumah, hilang duit, hilang anak, hilang isteri asalkan jangan hilang akal. Amatlah malang, kalau kita hilang akal, kerana segala-galanya kita akan hilang.
Kalau hilang isteri, mungkin boleh kahwin lagi. Jika hilang kawan, mungkin kita boleh cari ganti. Jika hilang kereta, kita minta polis tolong cari. Kalau hilang duit, anggaplah sedekah atau derma dari keikhlasan hati.

Tetapi kalau kita hilang akal, maka kita jadi orang gila, yang sibuk berceramah untuk memberitahu orang ramai yang tidak tahu kita sebenar sudah gila (kerana sebelum gila kita tidak gila), kononnya kita hebat, kita pejuang, kita sahaja yang betul, kita sahaja yang halal dan kita sahaja yang tidak haram.

Itulah sebabnya, ketika kita kehilangan sesuatu, janganlah seperti orang hilang akal. Nanti kalau orang kata kita gila, marah. Tapi kalau tak kata gila pun susah juga kalau nampak tindak-tanduk kita seperti orang gila.

Gila ini pula, ada macam-macam gila. Contohnya, gila talak. Orang gila talak ni, teruk. Kalau dia tdak dapat jumpa bekas isteri yang diceraikannya, bukan sahaja dia sanggup panjat pokok, mengintai (ini macam ada persamaan pula dengan kisah bersidang di bawah pokok), ada yang sanggup ‘melintas depan rumah bekas isterinya itu. Kata orang, nampak bumbung rumah bekas isteri pun sudah cukup’ untuk mengurangkan sedikit rasa kehilangan (baca: rindu).

Ada juga kisah orang gila babi. Penyakit gila babi ni, macam penyakit sawan. Ia menyerang tanpa mengira masa, tanpa mengira tempat. Kalau terjatuh ke dalam air, walaupun cetek, ia bahaya. Ada satu kisah, seorang bapa yang menjaga anaknya terkena penyakit gila babi. Bapa ini cukup risau kalau anaknya mahu keluar rumah. Dia takut kalau anaknya terjatuh ke dalam parit atau sungai.

Menurut ceritanya, puas juga dia berubat anaknya. Macam-macam jenis doktor ditemuinya, baik doktor pakar, doktor sakit jiwa, selain doktor-doktor biasa di klinik-klinik biasa, selepas puas berjumpa doktor di hospital kerajaan.

Dalam masa yang sama, dia juga berjumpa bomoh dan dukun. Dia akan berjumpa mereka dengan niat untuk mengubat penyakit anaknya itu. Pantang dia terdengar kalau ada orang memberitahu, ada orang pandai mengubat, dia akan pergi berjumpa. Jangan kiralah berapa banyak duit dan masa yang habis.

Dia bukan sayang duit. Dia bukan sayang masanya. Malahan, dia tidak kisah berapa banyak duit dihabiskan. Dia tidak kisah berapa banyak masa yang digunakan. Niatnya hanya satu, mahu anaknya yang terkena penyakit gila babi, sembuh seperti sediakala.
Ditakdirkan, akhirnya anaknya sembuh seperti sediakala.

Dia pun tidak pasti apakah ubat doktor atau jampi seramah bomoh dan dukun yang menyebabkan anaknya sembuh dari penyakit gila babi. Dia cukup-cukup bersyukur. Tidak habis-habis dia menceritakan kisah anaknya yang terkena penyakit gila babi akhirnya boleh baik dan dia cukup senang hati dengan perkembangan itu.

Tidaklah dia risau lagi kalau anaknya mahu keluar rumah. Tidaklah dia risau lagi untuk menggunakan banyak wang dan masa untuk menguruskan pengubatan anaknya. Tetapi sudah timbul masalah baru dalam hidupnya, selepas anaknya sembuh dari sintom gila babi ini.

Masalahnya, jika masa diserang penyakit gila babi anaknya asyik mahu keluar rumah, tetapi apabila sudah sembuh, anaknya tidak mahu keluar rumah. Walaupun ditemani, diajak keluar bersama-sama keluarga dan dengan kawan-kawan.

Sibuk kembalilah bapa ini kembali membawa anaknya ini berjumpa doktor, bomoh, dukun, orang alim dan orang-orang pandai berubat, tidak kira agama apa mereka anuti, tidak kira parti mana mereka sertai, kerana mahu anaknya ini menjadi manusia biasa, manusia normal dan mahu bergaul dengan orang.

Jangan ceritalah banyak mana wang dan masa habis begitu sahaja kerana cukup pelik dengan penyakit baru anaknya itu, baik dari penyakit gila babi, takut pula untuk keluar rumah walaupun siang hari, walaupun ditemani dan walaupun di upah untuk keluar.

Akhirnya, selepas panjang masa digunakan, beribu-ribu ringgit wang dihabiskan, bapa ini dapat jawapan kepada masalah baru anaknya itu, selepas baik dari penyakit gila babi, sekarang selepas sembuh, babi pula gilakan anaknya. Anaknya takut dikejar babi kerana babi yang tidak pernah kena penyakit gila babi, kini gilakan orang yang sudah sembuh dari penyakit gila babi.

Kalau ada orang-orang Pas yang selama ini mengatakan Umno kafir kerana berkawan dengan orang kafir, jangan terkejut jika selepas ini orang kafir pula mengatakan Pas kafir kerana orang Pas sekarang, terutamanya Mohamad Nizar Jamaluddin yang sedang menghafal pantun tadi, asal kapas menjadi benang, dari benang dibuat kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain, seperti tidak dapat berpisah langsung dari pemimpn-pemimpin DAP.

Rakyat Perak kena tahu cerita budak yang terkena penyakit gila babi ini kerana jika mereka tidak tahu, mereka akan berbaring atas jalan raya, mereka akan menentang Sultan Perak kononnya kerana Sultan Perak gagal mengakui bahawa 28 adalah majoriti manakala 31 adalah minoriti.

Dalam otak orang Pas, termasuk Ketua Pemudanya, YB Salahuddin Ayob, yang menguasai majoriti tidak berhak membubarkan DUN Perak tetapi mereka yang minoriti mendesak supaya DUN Perak dibubarkan.

Mereka (Pas) mahu rakyat menjadi hakim sedangkan dalam masa yang sama, mereka menyanjung Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang berpendapat Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memecat Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak.
Kenapa mereka menyanjung Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim? Tentulah jawapannya kerana keputusan hakim itu menyebelahi mereka. Kalau hakim itu tidak menyebelahi mereka, mereka kata kita serahkan kepada rakyat menjadi hakim. Ini hanyalah cakap-cakap politik Pas yang sudah ‘terlepas’ kerusi MB Perak.

Oleh Zainal Yusof

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com