20090601

Penanti: Hanya 7,100 mengundi

BUKIT MERTAJAM 31 Mei - Hanya 46 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti hari ini iaitu peratusan pengundian paling rendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, peratusan tersebut juga jauh lebih rendah berbanding jumlah pengundian di DUN yang sama pada Pilihan Raya Umum lalu iaitu 82.08 peratus.

Katanya, rekod terendah sebelum ini dicatatkan pada Pilihan Raya Sarawak Ke-9 pada tahun 2006 iaitu bagi kerusi N67 DUN Telang Usan yang merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 52.6 peratus.

''Ini rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini dan kita akan kaji faktor kenapa jumlah keluar mengundi amat rendah walaupun kita sudah membuat pelbagai kempen bagi menggalakkan orang ramai keluar mengundi.

''Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan senario ini disebabkan oleh tiadanya penglibatan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kali ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut diperoleh selepas semua sembilan pusat mengundi yang dibuka sejak pukul 8 pagi, ditutup pada pukul 5 petang ini.

Peti undi pertama tiba di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada pukul 6.20 petang manakala peti undi terakhir tiba pada kira-kira pukul 7 malam.

Ditanya mengenai perjalanan pilihan raya kecil itu, beliau berkata, SPR berpuas hati kerana proses pemilihan berjalan dengan lancar dan aman.

''Suasana positif ini banyak didorong langkah SPR menggantikan Barung parti kepada Barung SPR yang diletakkan di luar pusat pengundian bagi memudahkan pengundi membuat semakan.

''Selain itu, penguatkuasaan larangan berkempen pada hari pengundian juga memainkan peranan apabila tiada perayu undi mengganggu pengundi ke pusat-pusat pengundian," tambahnya.

Pilihan raya kecil itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Osman yang menewaskan tiga calon bebas iaitu bekas Ketua Wanita PKR, Aminah Abdullah; pengurus kilang berketurunan Siam, Nai Khan Ari dan pengurus kem motivasi, Kamarul Ramizu Idris.

Pilihan raya kecil yang diadakan berikutan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan pada 16 April lalu dengan alasan ingin melanjutkan pelajaran.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com