20081211

Fatwa: Raja Nazrin 'remind' MB, kerajaan negeri Perak

IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan Menteri Besar, Exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak agar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai isu agama Islam sebelum mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Raja Dr. Nazrin bertitah sebarang perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada baginda (Raja Dr. Nazrin) selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk dipersembah bagi mendapat perkenan Sultan Perak sebelum sebarang kenyataan mengenainya dikeluarkan

"Beta juga mengingatkan kepada Memanda Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Pengarah serta kakitangan Jabatan Agama Islam Perak untuk terlebih dahulu merujuk kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, untuk diangkat sembah mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebelum membuat apaapa kenyataan awam dan kenyataan media bagi apa juga perkara yang jelas terletak di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan," titah baginda pada Persidangan Ke-164 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di sini.

Baginda turut menegaskan bahawa selain sebarang keputusan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa juga hendaklah terlebih dahulu dirujuk untuk mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

"Apa yang berlaku pada masa ini, terdapat satu lagi forum dikenali sebagai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Badan tersebut telah melakukan pengumuman sesuatu fatwa secara langsung tanpa terlebih dahulu menyembahkannya kepada Majlis Raja-Raja.

"Keadaan ini jika tidak diperbetulkan boleh menimbulkan kekeliruan," titah baginda.

Raja Dr. Nazrin bertitah pada masa yang sama perlu diingatkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memberi arahan-arahan pentadbiran kepada pentadbiran agama Islam di negeri-negeri.

"Demi menjamin hubungan yang harmoni dapat dijalin, adalah penting untuk bidang kuasa Jawatankuasa dan Jabatan masing-masing sentiasa difahami dan dihormati; terutama sekali untuk sentiasa memahami dan menghormati kedudukan, hak, kelebihan, kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja mengikut yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan Negeri," titah baginda.

Raja Dr. Nazrin juga mahu pengurusan masjid baik daripada segi pengurusan kewangan, keharmonian dan kegiatan perlu berasaskan program keilmuan yang inovatif dan kreatif serta memastikan masjid bebas daripada disalahgunakan bagi kegiatan politik berparti dan khutbah yang menyimpang yang boleh memecahbelahkan ummah.

"Untuk maksud memantau aktiviti masjid dari menyimpang, Beta dengan ini menitahkan Orang Besar Jajahan, Pegawai Tadbir Agama Daerah, Penghulu serta Polis Diraja Malaysia menyembahkan laporan secara mingguan sebaik sahaja berlakunya kegiatan yang menyimpang di dalam masjid di daerah atau jajahan masing-masing, terutama dari segi kandungan khutbah dan kandungan tazkirah," titah baginda. / Bernama


Sebarang perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada baginda

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com