20081211

Saman kerajaan

KL: Penduduk di Bukit Antarabangsa yang terjejas oleh tanah runtuh Sabtu lalu bercadang hendak menyaman pihak berkuasa dan menuntut ganti rugi, menurut laporan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy, berkata: 'Kami telah menubuhkan satu pasukan guaman yang akan mengumpul bukti sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang.

'Tanah runtuh ini berlaku bukan kerana penduduk membangun rumah di lereng bukit.

'Pihak berkuasa tidak mempedulikan tanda-tanda yang kelihatan sejak beberapa tahun.

'Kami ada bukti seperti gambar yang diambil sebelum tanah runtuh berlaku dan aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tempatan,' kata beliau kepada pemberita.

'(Penduduk) melaporkan mengenai pokok yang tumbang, menunjukkan ada sesuatu yang tak diingini akan berlaku. Tetapi pihak berkuasa hanya menghantar pekerja untuk memotong pokok itu dan tidak mengambil langkah pencegahan,' kata Datuk Muneandy.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) semalam menafikan dakwaan ia gagal memberi respons positif terhadap aduan penduduk Bukit Antarabangsa mengenai banyak isu termasuk soal hakisan tanah.

Pegawai perhubungan MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata tindakan segera sudah diambil MPAJ atau pemaju bagi mengatasi masalah itu.

'Sebagai contoh, selepas menerima aduan hakisan tanah di jalan utama ke Bukit Antarabangsa pada September lalu, kami segera menghantar pakar ke sana dan membangun dinding penahan bagi mencegah hakisan selanjutnya,' tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penduduk Taman Bukit Mewah, Evelyn Khoo Pit Siam, semalam membuat laporan polis bahawa barang kemas bernilai hampir RM34,000 hilang daripada rumahnya di Jalan Bukit Mewah 1 yang ditinggalkan selepas kejadian tanah runtuh Sabtu lalu.

Seorang lagi penduduk dari kawasan yang sama, Koesoemahardy Widjaja, berkata empat pasport antarabangsa kepunyaan beliau dan empat anaknya serta sijil hartanah dan dokumen lain telah dicuri.

Sementara itu, ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, menafikan khabar angin bahawa pegawai polis dan kakitangan keselamatan memecah masuk ke rumah yang kosong di Bukit Antarabangsa.

'Jika benar, mereka harus membuat aduan supaya kami boleh menyiasat. Jika tidak, jangan sebarkan khabar angin kerana ia boleh menjejas operasi,' tegas beliau. / AFP, Bernama


Kami ada bukti seperti gambar yang diambil sebelum tanah runtuh berlaku

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com