20081209

Kenapa Masyarakat India tiba-tiba Bangkit

Sejak kebelakangan ini kita mendapati banyak sangat isu yang dibincangkan berkaitan dengan perkauman. Kita selalu memberi komen keatas kenyataan yang telah diberikan oleh pemimpin.

Tetapi kita lupa untuk mengetahui masalah sebenar yang dialami oleh masyarakat. Di sini saya ingin menyatakan hanya beberapa perkara yang telah mendorong Masyarakat India tiba-tiba bangkit menentang kerajaan. Antara masalah yang akan dinyatakan di bawah adalah masalah yang pernah saya lalui dan banyak orang sedar akan masalah-masalah ini, dan saya tulis artikal ini untuk memberitahu gambaran sebenar apa yang sedang dilakukan di Malaysia oleh pakar-pakar ahli politik atas nama Ketuanan Melayu.

1. Sebagaimana yang telah saya membaca dan memahami daripada buku Tamadun Islam di UTM. Wahyu pertama yang diturunkan menekankan ilmu kerana ayat pertama bermula dengan Bacalah. Jadi dari sini kita mendapati bahawa Pendidikan amat penting kepada setiap insan. Persoalannya kenapa ada diskriminasi dalam sistem pendidikan kita. Kita semua sedar bahawa:

a) Masih banyak orang bukan Melayu lebih layak memasuki Universiti berbanding pelajar Melayu yang sedang menuntut di universiti-universiti tempatan terpaksa meneruskan pengajian mereka di universiti swasta. Adakah ini patut?

b) Hanya beberapa orang bukan Melayu sahaja yang dapat peluang untuk belajar di sekolah berasrama penuh sains dan MRSM? Adakah in patut?

c) Beribu-ribu ringgit diberikan sebagai duit perbelanjaan kepada pelajar Melayu yang melajutkan pelajaran di luar negara? Adakah ini patut?

Saya tidak tulis perkara ini hanya dengan menutup mata. Saya mengetahui hal-hal sebegini kerana saya adalah bekas pelajar salah sebuah sekolah berasrama penuh dan saya amat mengetahui apakah kelebihan pelajar yang belajar disitu.Walaupun jumlah pelajar bukan melayu adalah lebih kurang 20 orang pelajar (dimana jumlah pelajar sekolah tersebut adalah lebih kurang 600 orang) kami akan ditapis daripada menghadiri beberapa taklimat daripada pelbagai penaja yang nak hantar pelajar ke luar negara, kerana kami bukan Melayu.

Kawan saya yang belajar di luar Negara (menggunakan duit sendiri) bersama pelajar Melayu terkejut setelah mengetahui jumlah duit yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka atas nama tajaan.

Dari sini kita dapat mengetahui bagaimanakah sikap perkauman ditanam dalam hati masyarakat? Adakah ia datang sendiri tidak ia timbul apabila seseorang diasingkan daripada masyarkat di negara sendiri. Sedar kah anda kenapa wujudnya perasaan tidak senang hati terhadap Ketuanan Melayu

2. Setelah tamat belajar timbul pula niat hendak berniaga. Jadi saya pun cubalah layari internet untuk memulakan perniagaan yang hanya memerlukan modal kecil supaya saya dapat membuat pinjaman dan membuatnya secara part-time. Terkejutnya saya banyak kursus perternakan hanya diberi keutamaan kepada orang Melayu.Kalau anda tidak percaya cubalah layar Internet untuk menghadiri kursus memelihara cacing,lintah, cendawan, ikan keli, syaratnya anda mestilah “Bumiputera”. Mengikut pandangan saya ini adalah pengasingan masyarakat bukanya layanan istimewa bagi Bumiputera . Kalau layanan istimewa mungkin kursus ini dibuka untuk semua tetapi diberi peratus yang tinggi sedikit kepada kaum bumiputera ataupun memberi diskaun kepada mereka. Pengalaman bapa saya pula,apabila beliau memohon untuk mendapatkan lesen kedai besi buruk dimana beliau nak tukar lesen dari class B ke class A. Walaupun telah mencuba lebih setahun beliau tak berjaya. Pelbagai alasan diberi. Semasa ayah saya hampir nak putus asa beliau diminta untuk memasukkan seorang patner Orang Melayu dan mereka berjanji terus akan luluskan lesen tersebut. Adakah ini patut?

Adakah anda akan setuju jika daripada tidak mempunyai apa-apa, anda berusaha tanpa mengenal letih dan tanpa bantuan kerajaan dan akhirnya anda berjaya membawa perniagaan kamu ke tahap yang bagus dan semasa anda nak tingkatkan status perniagaan anda diminta orang lain untuk manjadi patner dan menikmati keuntungan tanpa usaha.? Dan saya rasa mana mana Tuhan pun tidak akan membenarkan perkara ini. Maka wujudlah persoalan dalam minda kami bahawa, Adakah ini dikatakan Ketuanan Melayu menikmati kesenangan dalam hasil peluh orang lain.


3. Setelah kerajaan PAS menawan negeri Kedah pada Pilihan Raya yang lepas seorang staff di pejabat saya (Beliau adalah gadis Melayu) tanya kepada saya,
“Guna, kenapa orang India sokong PAS menang? Nanti susah la ini tak boleh itu tak boleh? Kalau nak tengok wayang dekat pawagam pun kena buka lampu tahu tak? Bukankah BN beri orang India sekolah percuma, buku percuma, masuk unversiti pun dia bagi apalah u orang?” Saya terkejut tetapi saya menyoal dia balik “Kalau PAS membawa undang -Undang Islam sepatutnya kamu kena gembira kan kenapa pula kamu risau?” Dia terus diam. Dari situlah saya menyedari bahawa bukan semua masyarakat Melayu tahu apa kah yang sebenarnya kerajaan beri kepada orang India.Hanya beberapa sekolah ditaja sepenuhnya oleh kerajaan. Maksudnya kerajaan tidak memberikan maklumat yang terperinci kepada masyarakat.

Kerajaan yang bagus sepatutnya telus dalam semua perkara. Kalau Ketuanan Melayu adalah hanya untuk melindungi Orang Melayu sanggupkah Kerajaan mengeluarkan senarai semua kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu.

4. BUMIPUTERA. Orang ramai tidak sedar bahawa perkataan tersebut adalah perkataan Sanskrit yang diMelayukan.Jadi biar saya jelaskan apa kah maksud perkataan tersebut.. BUMI adalah bermaksud dunia atau pun tanah, manakala PUTERA adalah anak ataupun waris. Jadi kesimpulannya Bumiputera bermaksud waris tanah ataupun anak tanah ini (Malaysia).Kalau kami bukan anak tanah Malaysia maka kami semua anak tanah siapa? Soalannya kenapa perkataan yang diambil dari bahasa sanskrit boleh diMelayukan kenapa kami (*bukan Melayu) tidak boleh dibumiputera-kan?

Memang benar nenek moyang kami pendatang tetapi kami lahir disini ,membesar di sini, dan akan mati di sini. Kalau kuasa luar datang menyerang Malaysia adakah ia akan menyerang Orang Melayu lebih kerana dia lebih istimewa. Pasti jawapannya tidak. Dia akan melihat semua orang sama iaitu MALAYSIAN. Adakah masalah ekonomi yang melanda melihat asal usul nenek moyang mereka. Tidak bukan? Jadi mengapa semasa kita menghadapi kesusahan hidup, kita bersatu menjadi bangsa MALAYSIAN tanpa kategori Bumiputera. Tetapi masa hidup senang dan mula membangun syarat-syarat Bumiputera dan bukan Bumiputera di wujudkan?

Saya bukannya racist. Sila letakkan diri anda dalam situasi kami. Apakah perasaan anda? Dan di sini saya hendak memberitahu bahawa kami kaum India tidak pernah meminta hapuskan hak keistimewaan Orang Melayu. Kami dengan masyarakat Malaysia yang lain boleh bersatupadu memelihara Bahasa dan Kebudayaan Masyarakat Melayu. Apa yang kami minta adalah kenapa kami diketepikan dari Masyarakat Malaysia kenapa kami tidak diberi hak untuk mendapatkan apa yang kami mahu dengan hasil kami sendiri. Setiap kali dalam semua bidang ada kategori kepada Melayu(Bumiputera) Dan bukan Melayu. Pertubuhan seperti Hindraf tidak pernah minta hak orang melayu dirampas mereka hanya minta apa yang dirasa perlu untuk meningkatkan status masyarakat India di Malaysia. Media telah memutarbelitkan cerita sehingga ia dikategorikan haram.

Jadi kesimpulanya adakah kerajaan memelihara ketuanan Melayu dengan:

1) Memberikan kelebihan dalam sistem pendidikan kepada Orang Melayu (Untuk mengukuhkan pendidikan Orang Melayu)

2) Mewujudkan sistem perniagaan dan pinjaman yang lebih longgar kepada Orang Melayu (Untuk mengukuhkan ekonomi Orang Melayu)

3) Memberikan rumah dengan diskaun kepada Orang Melayu (Untuk memastikan Orang Melayu memiliki penempatan yang baik)

4) Merahsiakan segala kesusahan yang dialami oleh orang bukan melayu daripada Orang Melayu kerana kalau semua orang sedar apa yang berlaku di Malaysia mereka akan bersatu. Orang Melayu sepatutnya melindungi orang yang dianiyai oleh orang yang mengaut keuntungan menggunakan isu perkauman (Untuk menutup ahklak Orang Melayu daripada berfikiran bernas dan rasional bagi mengaut keuntungan atas nama menjaga Ketuanan Melayu)

Ini bukan namanya memelihara dan menjaga Ketuanan Melayu tetapi memberi... memberi... memberi dan memberi... bagi kepentingaan seseorang

(Ini boleh wujudkan satu tanggapan bahawa Orang melayu tidak boleh hidup tanpa bantuan Kerajaan dan mereka menjalankan kerajaan atas usaha kaum lain.)


Kalau hendak memelihara haruslah

i) menggunakan masyarakat India dan Cina untuk membawa budaya Melayu ke negara India dan China. Kerana kita semua sedar bahawa pada masa depan kedua-dua negara ini akan menjadi kuasa besar dan seharusnya kerajaan menggunakan orang India dan Cina Malaysia sebagai media komunikasi perhubungan yang kuat dan mendapatkan perjanjian perniagaan bagi menjana sektor ekonomi negara sekaligus menyebarkan tamadun Malaysia di negara luar. Jadi secara automatik budaya masyarakat dan Bahasa Melayu akan tersebar dengan sendirinya.

ii) Mewujudkan subjek yang boleh menerangkan keunikkan Melayu dan subjek ini bukanlah diajar untuk menduduki peperiksaan. Masa subjek ini pelajar diajar permainan tradisional, mengadakan “Malay Costume Party”, membelajari / Pertandingan Memasak Masakan Melayu, dan sebagainya. Kita semua tahu pelajar akan lebih suka membuat sesuatu aktiviti seperti di atas berbanding duduk di bilik darjah dan baca buku untuk menjawap soalan peperiksaan.

iii) Gantikan Projek NS dengan projek dimana remaja Cina dan India dibawa ke perkampungan Melayu supaya mereka menghayati keunikan dan kelebihan tamadun Melayu dan Remaja Melayu pula ke kawasan perkampungan Orang India dan Cina supaya mereka juga mengenali cara hidup masyarakat bukan Melayu. Wujudkan “Semangat Malaysian” dalam jiwa remaja sebelum memberi latihan ketenteraan kepada mereka. Kalau kita tidak faham dan mengenali sesama masyarakat Malaysia sendiri bagaimana latihan NS akan melahirkan masyarakat yang betul-betul berjiwa Malaysian?

Ini adalah, hanya beberapa cadangan daripada saya. Saya meminta maaf jika terdapat perkataan yang menyakitkan hati anda. Saya juga berharap pembaca Melayu dan Cina menyatakan masalah mereka supaya kita rakyat Malaysia mengenali dan berkongsi masalah yang dihadapi sesama sendiri.

Sekian,

Guna Ganes
http://mt.m2day.org

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com