Pergelutan antara parti ratu dan parti lawan di Malaysia ini kerap juga menimbulkan dilema dan akhirnya menumbuhkan bibit sengketa, dendam, patah hati dan kaciwa di hati Sudin. Sebagai pejuang bahasa yang masih rebung usianya, dia terasa geram juga ketika membaca laporan akhbar terbaru berhubung isu-isu berkaitan bahasa.
Dia teringat sabda nabi..ketika amanah itu diberikan ke atas orang yang tidak sepatutnya, maka tunggu saat kehancuran bagi umat itu. Dan dia teringat juga sabda lainnya, kalau datangnya waktu kiamat dan dalam genggaman tangan kita ada biji benih, maka tanamlah benih pada masa itu juga.
Dan Sudin teringatkan hari-hari terakhir Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Kedua-dua hadis itu amat erat kepada Pak Lah yang banyak menimbulkan masalah lantaran kelemahannya mentadbir negara.
Tapi, Tun Mahathir dan sekalian orang Umno pun bersalah juga dalam hal ini. Kenapa Pak Lah dipilih jika diketahui beliau lemah memimpin negara? Ulamak Umno pun tidak bersuarakah dalam menentang hal ini?
Ketika orang yang tak layak atau tak kuat memegang amanah seperti Abdullah diberikan tugas itu, maka tibalah saat kehancuran sesebuah negara dan bangsa itu. Tepat sabda baginda. Tetapi, Sudin meninjau daripada sudut lain pula ketika mendengar perkhabaran bahawa Abdullah mahu meletakkan jawatannya nanti.
"Kiamat ke atas Abdullah dan penghujung riwayat pemerintahannya bakal tiba, jika diizinkan Allah," separuh batin Sudin berbisik. "Tapi, adakah Abdullah bersedia melakukan amalan solehnya yang terakhir sebelum kiamat pemerintahan beliau itu hadir menjelang Mac nanti?"
Kata Rasulullah s.a.w, jika kiamat tiba dan pada tangan kita ada segenggam benih, maka tanamlah benih itu. Mafhum dan tafsiran jumhur ulamak ke atas hadis tersebut adalah, janganlah pernah berhenti beramal soleh walaupun kiamat hampir tiba di penghujung usia dunia ini.
Sudin teringat kata-kata Abdullah dalam sebuah temubual tv dahulu, ketika sosok lemah yang tidak bertenaga itu mula menjawab kritikan Tun Mahathir yang hebat dilemparkan kepadanya.
Mana satu amal soleh Abdullah?
"Saya rasa inilah AMAL SOLEH yang boleh saya lakukan di dunia ini sebagai Perdana Menteri," demikian kata Pak Lah pada ketika itu. Sudin jadi geram lantaran Pak lah menggunakan 'term' AMAL SOLEH dalam keadaan masih ramai tahanan ISA yang dipasung di Kemta.
"Kepala hotak kau berjambul!" demikian makinya tatkala mendengar kalam Abdullah itu. Sudin bukan kaki maki. Tapi jika dia rasa geram sangat, memang makian seperti itulah yang kerap diwirid diratibkannya sebagai zikir ke atas pemerintah yang suka 'sembang deraih' dan 'sembang kemaih' itu.
Adakah perbuatan menahan orang tanpa bicara itu masih boleh diklasifikasikan sebagai AMAL SOLEH Abdullah? Esok ni hang pandai-pandailah menjawab depan Tuhan kat akhirat. Tanggungjawab dan tugas aku mengutuk hang di dunia ini aku dah cuba buat sedaya upaya aku. Semoga Tuhan menerima amalanku menyedarkan orang-ramai darihal keburukan ISA ini. Amin..
Berbalik kepada 'AMAL SOLEH' menjelang kiamat ini, Sudin suka menasihatkan Pak Lah jika sosok lemah dan tak bertenaga itu mampu melaksanakannya. Antara amal soleh terakhir menjelang kiamat pentadbiran Abdullah ini ialah, menanam benih bahasa Melayu semula ke lembah sekolah-sekolah di negara kita, khasnya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mempelajari dan mengajari Sains dan Matematik.
Jadi, kalau nabi bersabda, apabila datangnya kiamat dan pada tanganmu ada segenggam benih, maka tanamlah pada ketika itu juga sebagai amal soleh, maka Abdullah sebagai PM yang teringin nak buat amal soleh pada akhir-akhir dan kiamat pemerintahannya perlu memansuhkan PPSMI sebagai lalang, racun yang merosakkan usaha-usaha dan merencatkan pertumbuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dunia ini.
Bahasa Melayu yang dahulunya tumbuh sebagai pohon yang merendang, memayungi negara dengan segala kedaulatannya telah dicantas oleh pagar-pagar kepimpinan yang tak boleh diharapkan langsung. Huh! Harapkan pagar..pagar makan padi. Nanti kalau padi (rakyat) bangkit dan mengamuk tak tentu pasal, barulah hangpa nak terima pengajaran kot?!
"Tidak perlu meletakkan pelbagai bahasa pada nama jalan, ia belum dibuat lagi oleh mana-mana negara luar. Apa yang Guan Eng lakukan hari ini, begitulah sebenarnya diri beliau," petikan 'mutiara kata' Mohd Ali Rustam dipetik Utusan.
Berombak dada Sudin mendengar kata-kata itu. Di sisi kartun Senyum Kambing itu ada kepilan dialog, "Kerajaan Pulau Pinang tetap pasang papan tanda jalan pelbagai bahasa." Lalu hal itu dijawab oleh suatu watak lagi," Lagi sejarah hitam kepada Bahasa Kebangsaan."
Ada dua cara menjawab hal ini. Pertama, mungkin Utusan mahu menyindir pimpinan Umno apabila dialog itu berkata, ada satu lagi sejarah hitam kepada negara. Mungkin sebelum ini, Utusan juga berpendirian bahawa PPSMI juga adalah sejarah hitam kepada Bahasa Kebangsaan sebelum ini.
Atau, jika akhbar berkenaan tidak bermaksud demikian, maka akhbar itu tergolong dalam kumpulan yang tidak sedar diri ketika mengkritik tindakan kerajaan Pulau Pinang.
Mereka tidak sedar diri bahawa yang sebenarnya Umno itu punca kenapa orang bukan Melayu di negara ini tidak hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pendek kata, orang bukan Melayu sudah menghina bahasa Melayu sebagai kebangsaan lantaran pimpinan Melayu sendiri (Umno) tidak menghormati bahasa mereka dengan meletakkan PPSMI itu sebagai penghadang kepada kemuliaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
"Kalau Shah Rukh Khan kembangkan bahasa Melayu dalam One Two Ka Four, boleh kot nak dipertimbangkan nak bagi anugerah Datuk kepada pelakon Bollywood tu. Tapi nama filem-filem mereka sendiri dah tunjukkan betapa tercemarnya karya-karya mereka oleh kesan penjajahan," hatinya separuh menjerit.
Hal inilah yang Sudin mahu jerkahkan ke telinga Ali Rustam jika dia mampu berbuat demikian. Orang yang memberi darjat anugerah yang tidak kena pada tempatnya itu, dengan tiba-tiba bangkit sebagai 'pejuang bahasa'? Marah benar pula dia apabila segala papan tanda di Pulau Pinang itu bergelumang dengan berbilang bahasa.
"Sembang deraih betui dia ni! Eeii.. geramnya aku," kata Sudin lagi dalam monolognya sendiri.
Kumpulan Prihatin taja debat Abdul Rahman Yaakob dengan Hishammuddin di TV9
Tempoh hari, dia terbaca kenyataan mantan Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yaakob yang menolak pelaksanaan PPSMI ini dan baginya biarlah dikembalikan semula kepada dasar yang asal.
Ah! Alangkah baiknya kalau Kumpulan Prihatin menaja suatu debat antara bekas Menteri Pelajaran ini dengan bekas Menteri Pelajaran sekarang. Bukannya tidak boleh dibuatkan debat di TV9 seperti debat Anwar melawan Shabery Cheek dan Lim Guan Eng melawan Koh Tsu Koon dahulu.
Lagipun, kedua-duanya pernah memegang portfoli yang sama; kedua-duanya Menteri Pelajaran. Ya.. Hal ini juga yang Sudin akan cuba sampaikan kepada rakannya Khairul yang menjadi perantara dan tenaga penggerak muda dalam Kumpulan Prihatin itu. Dia fikir, dia mahu menulis dalam akhbar-akhbar aliran perdana juga berhubung syor-syor baru itu.
Sudin mengirim mel-e kepada temannya, Khairul. Tulis Sudin, Kumpulan Prihatin kena merakyat, tidak boleh lagi ambil pendekatan nak berforum dalam kalangan mereka saja.
Anak-anak muda yang akan jadi pelapis perlulah serius berbincang tentang cara-cara memujuk guru-guru dan pengetua-pengetua seluruh Malaysia agar memulaukan sekolah sehingga Menteri Pelajaran benar-benar turun padang dan serius berbicara hal ini.
Sudin membuka laptop, membuat akses internet dan kemudian, dikirimnya mel-e sebagai berikut kepada Khairul..
Saudaraku Khairul..
Baru-baru ini hatiku dibalut rasa sangsi tentang kenyataan sombong, angkuh, congkak lagi pongah oleh pemimpin Umno ke atas tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu papan tanda berbilang bahasa di negeri itu.
Daku tidaklah berniat membela kerajaan Negeri Pulau Pinang. Menurut hematku, masih belum tiba lagi marhalah untuk kita mengutuk pendirian orang lain.
Yang pertama, harus kita tanyakan kepada orang-orang seperti Mohd Ali Rustam ialah saat dia mengutuk pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang itu, adakah dia betul-betul serius memperjuang isu bahasa?
Adakah kenyataan Ali Rustam itu terbit daripada sikap ingin membela bahasa atau cuma sekadar Guan Eng itu pimpinan DAP dan musuh ketat Umno? Hal ini perlu kita perhatikan juga.
Dalam sangkaan burukku ke atas Ali Rustam dan pimpinan Umno yang suka sembang deraih dan sembang kemaih isu bahasa Melayu itu, mereka mengkritik isu papan tanda berbilang bahasa itu bukan kerana mereka cintakan bahasa Melayu.
Tapi lafaz perkataan itu adalah terbit daripada dorongan nafsu syahwat ingin menjatuhkan politik lawannya. Cuba kalau Koh Tsu Koon yang buat hal yang sama? Nak cari mampus? Pemimpin Umno akan diam sahaja.
Ali Rustam akan membisu seribu bahasa. Jangan-jangan, mereka akan kata, apalah salahnya kita berkongsi papan tanda dalam tiga bahasa?
Setakat mahu menegur kerajaan DAP bolehlah sebab parti itu berada di luar BN. Cuba kalau nak ditegur Gerakan, sekali Gerakan buat-buat merajuk, berura-ura mahu keluar BN, dan malah mahu pula masuk dalam Pakatan Rakyat nanti, melompat terus Abdullah Ahmad Badawi ke Pulau Pinang.
Tengoklah apa jadi pada Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera. Abdullah sanggup membunuh karier politik rakannya sendiri kerana khuatir Gerakan mahu keluar BN. Ini mimpi ngeri Abdullah. Tindakan Abdullah berbuat begitu bukan sangat tujuan dan matlamatnya mahu menjaga keharmonian kaum, tetapi didorong oleh perasaan ingin menjaga kuasanya sebagai PM.
Dahulu Pak Lah dengar berita ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mahu lompat ke PR, melompat terus dia, mengepung landasan pemikiran MP BN di sana. Dibawanya pula ke Taiwan, konon atas dasar mahu belajar ilmu pertanian. Walhalnya, hal urusan pembelajaran itu bukan tugas-tugas penting lagi utama yang patut dilakukan oleh ahli Parlimen.
Kalau Ali Rustam itu betul-betul berani, dia mesti perbaiki dirinya terlebih dahulu, meninjau sejarah lampaunya semasa bergelar mahasiswa di USM. Dia mesti ambil tahu sejarah gerakan pelajar sekitar 70-an dulu apakah yang berlaku ketika Fatimah Sham dan rakan-rakannya beriya-iya mahu menyerahkan memorandum kepada Tun Abdul Razak dahulu tentang perubahan nama Georgetown kepada Tanjung.
Apa kata Tun Abdul Razak, ayah kepada Najib yang kununnya bakal PM? Tun Abdul Razak malah tidak menghiraukan langsung desakan kaum pelajar pada ketika itu. Kini, Pulau Pinang dan Melaka telah diiktiraf oleh Unesco sebagai bandaraya yang bersejarah dalam keadaan Georgetown masih kekal namanya dan tidak pernah berubah dan berganjak kepada Tanjung itu.
Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Jadi, Ali Rustam mahu salahkan pimpinan pembangkang di negeri itu atau dia mahu mencari siapakah orang pertama yang boleh dipertanggungjawabkan dalam hal ini? Tun Razak sudah tiada, bolehkah anaknya Najib diburu dengan pertanyaan demi pertanyaan oleh 'pejuang bahasa' seperti Ali Rustam itu?
Beranikah si Ali Rustam bertanya kepada Najib, kenapakah ayahnya Tun Abdul Razak enggan menukar nama Georgetown kepada Tanjung? Aku berani kerat jari kalau Ali Rustam berani. Yang berani hanyalah Saidina Ali k.w. Yang gagah berani adalah panglima daripada angkatan tentera Parsi yang terkenal, iaitu Rustam.
Tapi, peliknya kalau digabung nama sebagai Ali Rustam, tak berani pula. Bukan sedikit tertumpah air mata di kolam hati rakyat yang peka dan prihatin dengan masalah bahasa. Melimpah barah dendam mencuka di hati rakyat berhubung kenyataan mereka semua ini yang layak kusebutkan pertalian kedudukan mereka sebagai pengkhianat bahasa Melayu.
Khairul saudaraku..
Sekianlah saja apa-apa yang termuat dalam suratku kali ini. Jangan lupa membalasnya kerana daku ingin sekali memahami apakah pendirianmu mengenai apa-apa yang telah kusampaikan sebentar tadi. Dan.. oh ya! Jangan lupa. Selepas usrah esok kita pi bergebang kat mana-mana di Gombak selepas berusrah di Anjung Rahmat.
Di sana nanti, aku akan melanjutkan lagi segala saranan terbaru dan akan keperbesarkan lagi seluruh daerah dan wilayah fikiranku kepada kau tentang kaedah-kaedah terkini dalam usaha memansuhkan PPSMI ini secara lebih radikal! Insya Allah Ta'ala.
### Dua hari berlalu ###
Malam itu, mereka berjanji mahu bertemu di sebuah tempat selepas habis masa berusrah. Langit malam penuh gemerlapan dihiasi cahaya berkerlipan pantulan sinaran bintang. Cuaca baik, getus hati Sudin. Memang sesuai untukku memulakan perbincangan dengan Khairul berhubung masalah bahasa ini.
Ugut dan ajar sikit Hishammuddin tu!
Dia masih teringat bagaimana susahnya Khairul menelefon para pegawai dan kerani di Kementerian Pelajaran tempoh hari, untuk bertanya jadual Hishammuddin Tun Hussein. Kononnya jika ada kekosongan dalam jadualnya maka Kumpulan Prihatin mahu bertemu Hishammudin dan berbincang-bincang dengannya berhubung isu Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ini.
"Kalau kita nak jumpa Menteri Pelajaran, memanglah susah syeikh," kata Sudin kepada Khairul pada suatu hari. Ketika itu, mereka sedang berbual-bual di sebuah restoren berdekatan Greenwood setelah habis 'bersembang deraih' dalam usrah Anjung Rahmat.
"Jadi, kita kena buat sampai Hishammuddin batalkan habis semua jadualnya sampai dia setuju nak berjumpa kita, dan mengambilkira semua pandangan rakyat."
"Fuh! Macam mana tu?" Khairul makin galak bertanya.
"Begini, kita bikin 'onar' di sekolah-sekolah. Buat apa saja. Minta cikgu pulaukan kelas, persatuan ibu bapa dan guru-guru minta sokong gerakan pulaukan kelas ini. Budak-budak tentu seronoklah kalau bab tak payah pi sekolah ni. Dalam seminggu kalau tak pi sekolah, gerenti Hishammudin jumpa kita punya."
"Kita ni disokong oleh persatuan ibu bapa dan guru-guru ke? Mahu ke mereka ni pulaukan kelas dan sekolah? Mampukah dan beranikah mereka itu?" tanya Khairul berulang-kali.
"Yang ini kita perlu tanya diri kita sendiri. Mahukah kita menyusun jadualnya, menyediakan bengkel-bengkel, menjemput guru-guru, persatuan ibu bapa dan guru, penduduk kampung untuk menerima buah fikiran yang semacam ini.
"Kalau mereka enggan, kita kena cerita apa tujuannya dan daripada sini Kumpulan Prihatin benar-benar merakyat. Selama ini kita sentuh hati nurani Hishammuddin saja. Kita belum sentuh hati nurani rakyat!" jelas Sudin panjang lebar.
Khairul terdiam sejenak. Dia teringatkan sandiwara Hishammudin. Dulu, semacam ada gambaran positif menunjukkan mereka mahu berbincang hal PPSMI.
Tapi, sejak tersiarnya kenyataan Hishammuddin yang terbaru berhubung keputusan UPSR tidak menunjukkan PPSMI gagal, maka Khairul mula terfikir sendirian bahawa bukan ada niat pun di hati Menteri Pelajaran itu untuk memansuhkan PPSMI, malahan ia akan terus dikekalkan.
Khairul dalam dilema sekarang.. adakah syor-syor Sudin ini berguna atau sukar disampaikan kepada Kumpulan Prihatin? Siapakah yang mampu menjawabnya?
5:00 p.m, 27 November
Sekolah Pemikiran Kg Baru.
No comments:
Post a Comment