Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini dijangka membincangkan beberapa perkara penting termasuk isu pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu serta tindakan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR Sabtu lalu.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ekoran kematian mengejut anggota parlimennya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.
Razali, 59, yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, di Genting Highlands, lapor Bernama.
Dalam pilihanraya umum Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.
Pertandingan tiga penjuru itu turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.
Dalam pada itu, MT juga akan membincangkan tindakan yang akan dikenakan ke atas Zaid ekoran tindakannya menghadiri majlis perasmian kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Sabtu lepas, Zaid yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam, dipetik sebagai berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.
Jelas beliau, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika dihubungi hari ini berkata perkara berkenaan adalah antara agenda penting yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat yang akan bermula pada 8 malam ini.
"Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) belum tetapkan tarikhnya (pilihanraya kecil), mesyuarat hari ini dijangka bincang persediaan pilihanraya dengan terperinci. Untuk penentuan calon, masih terlalu awal buat masa ini.
"Selain itu, mungkin juga akan dibincangkan mengenai tindakan ke atas Datuk Zaid memandangkan apa yang telah berlaku sebelum ini," katanya.
No comments:
Post a Comment