Wanita Barisan Nasional (BN) hari ini meminta semua pemimpin BN, termasuk dari pergerakan itu sendiri, supaya tidak 'bercakap di luar' mengenai isu-isu dalaman yang membabitkan parti-parti komponennya.
"Sebaliknya, isu yang membabitkan BN hendaklah diselesaikan dalam konsep BN," kata Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini.
Bercakap selepas mesyuarat Wanita BN di ibunegara hari ini, beliau berkata, apa-apa isu yang melibatkan komponen BN "perlu dibuat secara tertutup, secara keluarga, iaitu melalui mesyuarat dan dialog".
"Kita mahu semua di dalam BN faham bahawa ada isu-isu yang perlu diselesaikan di dalam konsep BN.
"Ada parti komponen yang memberi respons terhadap isu tertentu tetapi Wanita meminta (ia) perlu dibuat secara keluarga," katanya.
Rafidah yang juga ketua Wanita Umno berkata, mesyuarat hari ini juga membincangkan banyak isu-isu yang membabitkan Wanita BN dan BN sendiri.
"Isu mengenai bangsa dan agama tidak perlu bercakap kerana ia tidak ada kesudahannya, tidak bagus kepada parti dan rakyat.
Tubuh lima biro
"Kita bincangkan isu secara panjang lebar mengenai prestasi dasar BN, sistem penyampaian, kelewatan dan kebocoran dan salahfaham yang berlaku supaya dapat diperbetul dan dilakukan pembaharuan.
"Yang penting, kita membincangkan isu-isu yang diketahui oleh semua Wanita parti komponen BN, iaitu isu-isu yang dibawa oleh rakyat
"Kita akan membawa isu-isu tersebut kepada pucuk pimpinan parti," tambahnya.
"BN sangat sedar apa yang dibangkitkan iaitu mengenai prestasi parti BN, kerajaan dan apa yang dibawa oleh pembangkang... kita ingin maklumkan kepada pucuk pimpinan," tambahnya.
Wanita BN juga, katanya, akan melebarkan jangkauan terhadap anak-anak muda kerana mereka bukan sahaja akan menjadi pemimpin tetapi juga penentu masa depan negara
Rafidah turut mengumumkan penubuhan lima biro yang akan diketuai oleh pemimpin parti utama BN.
P'raya kecil KT
Menurutnya, biro kepimpinan diketuai oleh Wanita Umno, tetapi ada wakil semua Wanita parti komponen BN.
Biro perpaduan diketuai oleh Wanita PPP, biro perundangan diketuai oleh Wanita MIC, biro ekonomi diketuai oleh Wanita MCA manakala biro pendidikan dan modal insan diketuai oleh Wanita gerakan.
"Biro-biro ini akan menjalankan kerja-kerja mereka di peringkat negeri dan peringkat kebangsaan," tambahnya.
Rafidah berkata, mesyuarat hari ini juga memutuskan bahawa Wanita Umno juga akan bermesyuarat di luar Kuala Lumpur, termasuk di Sabah dan Sarawak selepas ini
Mengenai pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Rafidah berkata, Wanita Umno akan mengetuai kempen di kawasan pengundi Melayu, Gerakan dan MCA di kalangan pengundi kaum Cina dan MIC serta PPP di kawasan pengundi India.
"Mereka sudah diberi maklum tentang tugas-tugas di kawasan masing-masing. Insya-Allah, dengan kerja kuat kita dan keazaman, kita akan menang," tambahnya.
No comments:
Post a Comment