20081201

PRK ke-2: SPR akan 'meeting' segera

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga pagi ini (pukul 10.30 pagi) pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas," katanya.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Pilihan raya kecil sebelum ini ialah Permatang Pauh, yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan diadakan minggu ini, Wan Ahmad berkata, "kita akan memutuskan sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat memaklumkan tentang kekosongan."

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan. Sama ada pilihan raya kecil itu akan disegerakan, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh panel anggota SPR.

Pilihan raya kecil akan diadakan ekoran kematian mengejut Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail ketika bermain badminton di Genting Highlands Jumaat lalu.

Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

Pada pilihan raya umum lepas Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Pilihan raya kecil ini jika diadakan sebelum hujung bulan bermakna ia dikendalikan tanpa Pengerusi dan Setiausaha.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menunaikan haji manakala belum ada pengganti jawatan Setiausaha.

Ketika ditanya sama ada ketiadaan Setiausaha akan menjejskan kelancaran proses pilihan raya kecil, Wan Ahmad berkata, masalah tersebut tidak akan wujud.

"Pilihan raya kecil biasanya merupakan urusan negeri dan Pengarah Pilihan Negeri mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pilihan raya.

"Jadi tidak akan menghadapi masalah," katanya. / Mstar


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menunaikan haji manakala belum ada pengganti jawatan Setiausaha

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com