20090601

Rakyat muak permainan pembangkang

KUALA LUMPUR 31 Mei - Jumlah peratusan mengundi yang kecil dicatatkan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti merupakan mesej 'protes' yang jelas bahawa rakyat sudah muak dan tidak merestui permainan politik pembangkang yang hanya menyusahkan mereka.

Keputusan itu juga memberikan pengajaran paling berguna kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak memaksa rakyat mengikut segala percaturan politiknya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebahagian besar penduduk Penanti tidak keluar mengundi kerana menolak pilihan raya yang sengaja diadakan bagi menyelesaikan masalah dalaman PKR sekali gus menyalahgunakan demokrasi.

Beliau berkata, keputusan tersebut paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini selain membuktikan rakyat sudah pandai menilai permainan politik pembangkang dan tidak mahu terus diperdaya.

"Kita berharap pakatan pembangkang menerima mesej yang disampaikan oleh rakyat bahawa mereka sebenarnya sudah muak dengan cara mereka.

''Pakatan ini sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembangunan negara dan macam-macam lagi yang dapat memberikan manfaat.

"PKR menang kerusi DUN Penanti, tetapi kemenangan itu langsung tidak bermakna kerana dari segi moral mereka sudah kalah teruk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainal Abidin menegaskan, UMNO negeri ini tidak pernah mengarahkan mana-mana ahlinya supaya tidak keluar mengundi sebaliknya mereka yang mewarisi parti daripada datuk, nenek serta ibu bapa mereka, tidak sanggup mengundi parti lain.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, jumlah undi calon PKR yang merosot sebanyak 1,294 berbanding pilihan raya umum lalu turut membuktikan penyokong parti itu sendiri bosan dengan kerenah politik PKR.

Katanya, apa yang berlaku di Penanti diharapkan akan menjadi penamat kepada siri pilihan raya kecil yang sengaja diadakan pakatan pembangkang tanpa alasan yang kukuh.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, peratusan mengundi yang rendah itu tidak mempunyai kaitan dengan keputusan BN yang tidak menyertai pilihan raya di Penanti.

Katanya, sekiranya rakyat di kawasan itu merasakan pilihan raya berkenaan penting untuk memastikan nasib mereka terbela, sudah pasti mereka akan tetap menunaikan tanggungjawab.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun mendapat kemenangan, pakatan pembangkang tidak boleh mendabik dada bahawa mereka mendapat mandat rakyat kerana peratusan mengundi tidak mencecah 50 peratus.

Katanya, jika benar rakyat merestui mereka, sudah tentu undi yang diterima Mansor sekurang-kurangnya akan menyamai undi yang diterima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com