oleh Syukree Hussain
Kuala Lumpur, 8 Disember (MalaysiaToday) - Sempena ketibaan Aidil Adha hari ini, Ketua Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari raya korban kepada semua umat Islam.
"Saya mengucapkan Salam Eidul Adha minal adin walfaizin walmaqbulin kepada seluruh umat Islam.
"Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Walillahil hamd," kata beliau.
Menurut beliau, pengorbanan memerlukan keteguhan dan ketulusan hati seperti puncak kepada keikhlasan dan makna daripada ketakwaan itu dapat diperolehi daripada kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?"
Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar", firman Allah SWT dalam Surah As-Saaffaat ayat 102.
Jelas Anwar, kedua-duanya tanpa ragu menjalankan perintah Allah S.W.T
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)," sambung firman Allah SWT dalam Surah As- Saaffaat ayat 103.
"Saya pernah berkongsi dengan para pembaca betapa penting untuk kita menyingkap makna dan pengajaran dari peristiwa qurban yang melibatkan Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda Nabi Ismail a.s," ujar Penasihat PKR itu dalam blognya.
Katanya, yang terserlah adalah nilai taqwa, hasrat mempertahankan hak dan menolak kebatilan.
"Pada masa sama jangan kita alpa untuk terus berjuang mengangkat martabat umat dan membela nasib rakyat," jelas beliau.
Tambahnya, kesungguhan tanpa kenal erti penat dan lelah merupakan ciri para pejuang penegak Keadilan.
"Perjuangan untuk memastikan Perubahan di negara ini menuntut kesungguhan dari pendokong kebenaran dan semoga kemenangan tiba jua akhirnya," tegasnya lagi.
Firman Allah SWT seterusnya, "Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya) - Surah As-Saaffaat 116."
Umat Islam akan menyambut hari raya korban 1429 hijrah pada hari ini dengan bermula solat sunat hari raya berjemaah di masjid dan seterusnya melakukan majlis korban.
Anwar dijangka menyambut Aidil Adha di Permatang Pauh bersama-sama isteri, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anak-anak beliau termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
No comments:
Post a Comment