20081202

Betulkah PKR mahu raja kebal?

dikemaskini Seorang ahli parlimen BN kontroversi mempertikaikan keikhlasan dan kesungguhan PKR hendak mengembalikan kekebalan Raja-raja Melayu seperti diuar-uarkan dalam kongres nasional parti itu hujung minggu lalu.

tajuddin abdul rahman"Betulkah ia (PKR) boleh buat begitu (mengembalikan kekebalan Raja-raja Melayu)," kata wakil rakyat Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Tambah ketua bahagian Umno itu, PKR-lah yang menyebabkan berlakunya kemusnahan di kalangan orang Melayu di negara ini.

Tambahnya, kuasa Raja-raja Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan baginda menjalankan tugas berdasarkan peruntukan tersebut.

"Siapa kata Raja Melayu tidak boleh memainkan peranan sebagai pemerintah? Kedudukan Raja-raja Melayu elok, tidak dicabar dan tercabar.

"Mereka tidak perlu kekebalan... Raja-raja Melayu nak kebal untuk apa?" katanya ketika diminta mengulas kesediaan PKR mengembalikan kekebalan institusi raja dalam penggubalan undang-undang seperti ucapan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lepas.

Sementara penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakar undang-undang partinya akan meneliti bagaimana isu kekebalan Raja-raja boleh diketengahkan supaya tidak berlaku ketegangan antara istana dan eksekutif.

"Kita jelaskan, kita menerima prinsip kekebalan (Raja) yang tertakluk kepada prinsip perlembagaan," katanya sewaktu menggulung di akhir kongres nasional PKR, Ahad lepas.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hasrat Anwar itu hanya untuk kepentingan politik beliau sendiri.

"Jangan seret masalah Raja-raja dengan politik. Politik tidak boleh membabitkan isu Raja-raja," katanya.

Zahidi yang juga ketua bahagian Padang Besar berkata, agenda utama yang perlu diketengahkan ialah ekonomi orang Melayu yang semakin ketinggalan.

Tambahnya, jika isu ekonomi tidak diberi perhatian sewajarnya, kekuatan politik tidak memberi sebarang makna.

Sekarang, katanya lagi, Anwar perlu mencari jalan untuk memantapkan ekonomi Melayu dahulu sebelum berhasrat mengembalikan kekebalan Raja-raja.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua mengakui idea parti itu untuk mengembalikan kekebalan raja menimbulkan kekeliruan.

Menulis di blognya semalam, ahli parlimen Batu berkata PKR tidak bermaksud memberikan kuasa mutlak kepada Raja-raja tetapi ingin mengurangkan kuasa yang berlebihan pada pihak eksekutif.

Seperti penjelasan Dr Wan Azizah selepas menyampaikan ucapannya Sabtu lalu, Tian berkata PKR ingin mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menolak rang undang-undang seperti sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1983.

Bagaimanapun beliau membayangkan tiada kuasa mutlak akan dikembalikan kepada Raja-raja sehingga boleh berbuat apa sahaja tanpa kawalan Perlembagaan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com