20081203

Minda Pengarang: Ketepi sikap emosional, utama permuafakatan

SIKAP segelintir pemimpin politik terus menyuarakan pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti kaum secara terbuka cukup membimbangkan kita. Ketika negara berhadapan kekalutan ekonomi global ditambah masalah politik serantau yang tidak stabil, pemimpin kita termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) sepatutnya menumpukan usaha bagi memajukan ekonomi dan mengukuhkan permuafakatan antara kaum, tetapi apa yang berlaku sejak keputusan pilihan raya umum Mac lalu yang BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen, sebilangan pemimpin terus bersikap emosional dengan mendendangkan isu hak kaum tertentu sehingga menimbulkan kekalutan di kalangan parti komponen. Pemimpin berkenaan sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman dan mengukur diri sendiri mengenai pencapaian parti dalam pilihan raya umum lalu, bukan menyalahkan pihak lain. Kita kesal dengan sikap 'baling batu sembunyi tangan' pemimpin berkenaan yang terus menerus mempertikaikan hak orang lain bagi menyembunyikan kelemahan diri kerana ia boleh mengundang padah. Oleh itu, nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu menjadi renungan pemimpin terbabit supaya semua pihak memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara dan kembali kepada prinsip permuafakatan BN dalam menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit. Kesepakatan perlu ditunjukkan pemimpin parti komponen untuk memperjelaskan kepada rakyat bahawa perkongsian kuasa lebih penting memastikan kelangsungan pembangunan negara.

Kita turut menyokong kenyataan Najib mengenai keperluan pemimpin dan ahli BN menyuarakan pendapat masing-masing, namun biarlah ia dilakukan secara berhemah dalam satu keluarga tanpa perlu menyinggung apa lagi menyakitkan hati kaum lain kerana tindakan melampau dalam menyuarakan pandangan sehingga mengeruhkan hubungan antara kaum boleh mengundang padah, terutama ketika kemelut ekonomi sekarang yang menyebabkan tahap kesabaran penduduk sedang diuji. Apa yang kita lihat sekarang ialah sikap sesetengah pemimpin yang tidak mengakui kelemahan diri, sebaliknya mencari salah orang lain untuk meneruskan agenda dan populariti diri. Menggunakan percaturan kaum untuk kepentingan diri dan parti sepatutnya dielakkan jika parti ingin dihormati dan terus relevan. Rakyat bukan saja muak dan marah, malah akan menguntungkan pihak pembangkang yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berkuasa. Jika tersilap langkah, impian pembangkang boleh menjadi kenyataan jika pemimpin parti komponen meneruskan gelagat buruk mereka dengan mempersoalkan hal berkaitan kaum yang sebelum ini sudah diterima semua pihak. Sebagai rakyat, kita cukup sedih dengan keadaan yang berlaku sekarang. Ketika ekonomi tidak menentu dan sesetengah penduduk terpaksa berjimat dan mengikat perut untuk meneruskan kehidupan, pemimpin politik pula asyik bertelagah sesama sendiri. Ada pula yang melukakan hati rakyat dengan kenyataan tidak bertapis sehinggakan membingungkan rakyat. Bagi menjernihkan keadaan, semua pemimpin kaum dan politik perlu muhasabah diri selain memfokuskan matlamat untuk membangunkan negara serta menjamin kehidupan yang lebih selesa untuk generasi sekarang dan akan datang.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com