20081203

MIC desak tindakan terhadap Mukhriz

KUALA LUMPUR: MIC semalam meminta Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir kerana membuat kenyataan yang didakwa berbahaya apabila mencadangkan kerajaan mewujudkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata Mukhriz tidak sepatutnya membuat kenyataan itu hanya untuk memancing undi bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu Mac depan kerana desakannya itu bertentangan dengan Perlembagaan.

"Beliau (Mukhriz) membuat kenyataan berbahaya dan MIC mahu Peguam Negara mengambil tindakan. Beliau boleh bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno, tetapi jangan menggunakan isu hak pendidikan kaum lain," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin pula mempersoalkan tindakan Mukhriz mengemukakan cadangan itu sedangkan sistem pendidikan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan sudah berjalan dengan baik sejak zaman British lagi dan dijamin Perlembagaan serta Akta Pendidikan.

"Kami (Gerakan) tidak faham pendirian Mukhriz mengapa mahu sistem sekolah jenis kebangsaan (untuk masyarakat Cina dan India) yang berjalan dengan baik sekarang diubah menjadi satu sistem pendidikan kebangsaan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam

Katanya, Gerakan juga mahu Mukhriz menarik balik kenyataannya kerana kewujudan sekolah jenis kebangsaan selama ini mampu mencapai matlamatnya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang berguna serta produktif.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com