20081203

Umno pecat Zaid serta-merta

Oleh Norfatimah Ahmad, Amin Ridzuan Ishak dan Khairul Azran Husin


ABDULLAH bersama Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, malam tadi.

Hukuman berikutan beberapa tindakan menyalahi Perlembagaan parti

KUALA LUMPUR: Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno, berkuat kuasa serta-merta berikutan beberapa tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR), baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan hukuman terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, hampir tiga jam, malam tadi.

"Tidak ada rayuan lagi. Umno mesti konsisten apabila membuat keputusan dalam perkara ini dan kita mahu pastikan tidak berlaku 'pilih kasih' (double standard) dalam setiap tindakan yang diambil," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, malam tadi.

Bulan lalu, Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Kota Bharu itu diberikan surat tunjuk sebab berikutan tindakannya menulis surat terbuka serta menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagi membincangkan usaha untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Minggu lalu, Zaid sekali lagi melakukan tindakan yang melanggar Perlembagaan parti apabila menghadiri Kongres Nasional PKR di Shah Alam. Zaid memberi alasan bahawa kehadirannya untuk mendengar ucapan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid melepaskan jawatannya sebagai menteri 17 September lalu kerana tidak bersetuju dengan penahanan seorang wartawan, penulis blog dan pemimpin pembangkang di bawah ISA.

Abdullah yang juga Presiden Umno, berkata keputusan yang dibuat MT Umno itu setimpal dengan tindakan yang dilakukan Zaid terutama dengan kehadiran beliau bersama pemimpin pembangkang dalam majlis yang diadakan baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga mengumumkan keputusan menggantung Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim kerana tindakannya memburukkan imej pemimpin parti.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu berikutan kematian Datuk Razali Ismail minggu lalu, Abdullah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh menentukan calon yang layak untuk mewakili Umno dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

"Cadangan berhubung calon pilihan raya kecil itu boleh dikemukakan kepada saya dan MT Umno tidak semestinya perlu bermesyuarat untuk menentukan perkara itu," katanya.

Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu dilaksanakan serta-merta, termasuk mendapatkan kerjasama Umno negeri lain.

Ditanya kenyataan Datuk Arif Shah Omar Shah yang menganggapnya dirinya dipinggirkan, Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu menemuinya semalam dan memberi jaminan untuk kekal sebagai ahli Umno dan wakil rakyat BN.

"Arif Shah sudah jelaskan kepada saya bahawa dia tidak berminat untuk menyertai parti lain," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com