20080818

Anwar tetap tolak syor bersumpah, Abdullah percaya Saiful serius

(mStar Online) - Kira-kira lapan jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan yang beliau sudah mengetahui kandungan laporan polis dan tidak akan sama sekali bersumpah berhubung isu meliwat, Perdana Menteri yakin Mohd. Saiful Bukhari Azlan telah melakukan sumpah kerana merasakan ia sebagai "sesuatu yang serius" bagi dirinya.

Bagaimanapun kata beliau, terserah kepada Anwar untuk menyahut seruan Saiful agar turut melakukan demikian.

"Apa yang dilakukan oleh Saiful adalah sesuatu yang berupa niat untuk melahirkan sesuatu dalam bentuk sumpah.

"Kita perlu memahami dan tidak harus memperlecehkan dia (Saiful)," kata beliau ketika ditemui selepas pertemuan dengan calon Barisan Nasional, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Permatang Pauh di sini pukul 6.15 petang tadi.

Beliau menjelaskan, hanya Saiful sendiri yang lebih mengetahui sebab dia bertindak sedemikian Jumaat lalu.

"Tentu dia merasakan perkara yang serius untuk membuat itu (bersumpah)," kata beliau.

Abdullah menyatakan demikian kira-kira lapan jam selepas Anwar mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak perlu bersumpah hanya kerana ada pihak yang menuntutnya berbuat demikian.

Pada sidang media pukul 10.30 pagi tadi, Anwar mengulangi bahawa tidak perlu bersumpah atas al-Quran dan beliau mengetahui kandungan laporan perubatan kedua, kendalian Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga laporan polis berhubung dakwaan liwat yang dihadapinya.

Sehubungan itu, beliau mahu mahkamah mengarahkan kes tersebut ditarik balik apabila ia disebut semula bulan depan.

Malah pada sidang media pertama yang formal selepas penamaan calon semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak akan memenuhi desakan mana-mana pihak supaya bersumpah atas al-Quran sebagaimana dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, bekas pembantu peribadinya dua hari lalu.

"Laporan perubatan sangat jelas, Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah kata ia sebagai (kes) rogol, dia (Saiful) kata dipaksa, polis pula mengatakan bahawa rela... dia kata satu, lapan kali, 11 kali... waktu (diliwat) juga berubah.

"Anda mengatakan bahawa perlu bersumpah atas al-Quran?... Hendak persenda al-Quran?

"Jika sistem kehakiman adil, dan saya mengatakan kepada anda bahawa hakim perlu menarik balik kes sebaik sahaja ia dibawa ke mahkamah (bulan depan).

"Ini kerana saya tahu kes ini, saya (sudah) tahu laporan perubatan (yang kedua daripada HKL)... ini bukan andaian bahawa saya telah melihat laporan. Kawanku (merujuk kepada wartawan), ia bukan andaian," kata beliau di Pusat Operasi Utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Penanti, Permatang Pauh.

Anwar yang bertanding untuk merampas balik kerusi Parlimen Permatang Pauh - kali ini sebagai calon pembangkang - memberitahu, maruah dan kehormatannya menjadi pertikaian buat masa sekarang.

"Walaupun anda tidak menyokong dan menghormati saya, anda mesti menghormati undang-undang," katanya.

Pada Jumaat lalu, Saiful melakukan sumpah atas al-Quran berhubung dakwaannya diliwat Anwar sambil menggesa bekas majikannya itu supaya turut berbuat demikian.

mStar Online difahamkan Anwar menerima laporan polis dibuat Saiful petang kelmarin.

"Saya terima laporan polis selepas enam," kata Anwar.

Laporan perubatan pertama disempurnakan oleh doktor Hospital Pusrawi dan kemudian Saiful diperiksa oleh doktor-doktor HKL.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menggesa Anwar bersumpah sebagaimana dilakukan oleh Saiful.

Rata-rata isu Saiful bersumpah dan laporan liwat ke atas Anwar menjadi antara bahan berkempen utama sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sekarang.

Ketika berkempen malam tadi, Anwar berkata, beliau tidak akan bersumpah berhubung tuduhan liwat terhadapnya kerana bimbang sumpahnya akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

Katanya, sumpah yang dilakukan bekas pembantu peribadinya sengaja dibuat bagi menafikan peluangnya memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Nak bukti apa lagi. Laporan dah keluar. Tiada liwat. Ini dia (Saiful) pula nak sumpah. Kes ini tidak ke mana. Sebab itu dia tau kes ini tidak ke mana, jadi dia malukan saya dan aibkan saya semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh.

"Dulu saya dituduh meliwat dan saya yang dipenjarakan," katanya di Taman Cermai dekat sini.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com