20080821

DASAR APARTHEID TERHADAP AKHBAR

In this war,you are either with us or against us,” inilah kata-kata Presiden Bush dari sebuah negara yang dianggap paling demokratik dalam dunia ketika Amerika Syarikat dalam peperangan dengan Iraq.

Kata-kata ini sepatutnya ditujukan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi kepada media yang dipunyai oleh Barisan Nasional (BN) yang telah terbawa dalam arus kepercayaan kononnya dengan hanya memberikan laporan seimbang akan menjamin pasaran dan survival akhbar dan stesen TV mereka.

Apakah ini benar? Apa yang berlaku yang ternyata kepada umum dalam hal ini ialah kerajaan sendiri tidak mengamalkan dasar yang seimbang. Ada akhbar BN terutama akhbar Inggeris, yang begitu bebas menyiarkan apa yang tidak boleh disiarkan oleh akhbar tertentu.

Dan kerana sebuah akhbar bebas diketahui lebih pasarannya, maka akhbar Inggeris yang satu lagi pun diberikan kebebasan yang lebih hebat lagi.

Akhirnya yang menang ialah pasaran akhbar dan yang hancur ialah nilai-nilai nasional yang membawa malapetaka kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihanraya umum lalu.

Yang telah menempah nama sebagai akhbar berkecuali ialah The Star yang berkali-kali menyiarkan interbiu khas dengan pemimpin PKR Anwar Ibrahim, mempromosi buku 13 Mei yang ditulis oleh ejen Singapura dan penyiaran pelbagai berita sensitif kepada masyarakat Melayu dan Islam.

Namun oleh kerana kepandaiannya bermuka-muka dan ketidakbijaksanaan budak-budak Unit Komunikasi `tingkat empat' maka The Star terlepas daripada penglihatan Kementerian Dalam Negeri.

Antara interbiu khas dengan Anwar Ibrahim sesudah dan selepas pilihan raya umum yang disiarkan oleh The Star ialah perihal menantu Pak Lah menghantar pasport antarabangsa kepadanya selepas dia keluar dari penjara dan juga tentang pandangan Anwar Ibrahim memuji Khairy yang bertentangan dengan pandangan kebanyakan orang UMNO.

Ini hanya sebahagian kecil daripada tindakan bijak dan halus The Star menghakiskan kepercayaan masyarakat Melayu dan UMNO terhadap Abdullah.

Contoh terbaru ialah akhbar The Star 13 Ogos 2008 menyiarkan berita kemungkinan kerajaan mengharamkan makalah Katolik, Herald kerana akan menyiarkan rencana pengarang mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Bagaimanapun pengarangnya Father Lawrence Andrew berhujah bahawa rencana pengarang itu hanya akan meminta rakyat untuk berdoa bagi suatu pilihan raya kecil yang adil dan saksama di Permatang Pauh.

“Tidak bolehkah kami orang Kristian berdoa, adakah ini menentang undang undang?” katanya dalam interbiu dengan The Star.

Ini adalah suatu kenyataan jahat yang boleh membangkitkan perasaan dan terang-terang berbau politik. Apabila tujuan berdoa adalah untuk meminta pilihan raya yang adil maka dengan sendiri memberikan implikasi bahawa pilihan raya yang akan diadakan tidak akan adil.

Patutkah ada anggapan ini setelah beberapa negeri telah jatuh ke tangan pembangkang dan Parlimen dipenuhi oleh pembangkang.Patutkah seorang padri bermain politik jahat?

Sekaligus tajuk kecil yang ditonjolkan oleh The Star yang berbunyi “Can't we Christians ask fellow Christians to pray” menimbulkan anggapan seolah-olah kerajaan selama ini melarang orang Kristian bersembahyang dan berdoa.

Inilah cara bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew memainkan perasaan orang bukan Melayu semasa Singapura berada dalam Malaysia dulu. Beliau bertanya dalam Parlimen:

“Apakah salah untuk saya sebagai orang Cina bercakap bahasa Mandarin di rumah saya atau orang India bercakap Tamil di rumahnya?” Realitinya siapakah yang melarang pada masa itu.

Petualang besar dalam pekara ini ialah akhbar The Star tetapi ia pandai menyembunyikan warna sebenarnya.

Ia bertanggungjawab besar dalam menghakiskan kepercayan bukan Melayu terhadap UMNO dan kerajaan pimpinan Melayu. Keseronokannya selepas kemenangan besar DAP di beberapa negeri dan juga di Parlimen tidak dapat disembunyikan yang terserlah dalam cara penyiaran beritanya terutama dalam mempromosikan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Patutnya dalam keadaan sekarang Perdana Menteri Malaysia mestilah memberikan kata dua kepada akhbar-akhbar BN sama ada kepunyaan UMNO, MCA atau Gerakan. ``You are either with us or against us.”

Ini telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim, kerajaan Perak, kerajaan Selangor dan kerajaan Pulau Pinang terhadap akhbar Utusan Malaysia. Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenarkan hadir dalam sidang akhbar mereka.

Kepercayaan jika media menentang pembangkang habis-habisan maka orang tidak lagi akan membacanya adalah kepercayaan yang karut. Kerana sikap inilah yang diamalkan oleh The Star, Sin Chew, The Sun dan lain-lain sehingga menjatuhkan maruah Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya umum lalu.

Singapura adalah negara maju, tetapi ia sanggup tidak maju dalam soal kebebasan media. Sebaliknya di Malaysia, Perdana Menterinya sedar rakyatnya bermentaliti kelas ketiga namun beliau memberikan kebebasan kelas pertama kepada media. Hebat sungguh si penasihat-penasihat media.

MAHARAJABLOGGER
16 Ogos 2008
http://maharajablogger.blogspot.com/

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com