20080819

Hadi: Muqabalah dengan Umno diteruskan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu akan meneruskan muqabalah, termasuk dengan Umno, untuk kepentingan negara dan Islam.

"Kita akan mengadakan muqabalah apabila perlu kerana ia turut memberi keuntungan kepada banyak orang, contohnya dalam isu Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) yang memberi keuntungan kepada Hindraf," katanya.

Bekas menteri besar Terengganu itu memberitahu demikian dalam sidang media selepas ucapan penggulungannya di muktamar ke 54 PAS di Stadium Indera Mulia Ipoh hari ini.

Katanya, isu muqabalah tidak perlu dijelaskan lagi kepada komponen Pakatan Rakyat kerana mereka sudah tahu mengenai perkara tersebut.

"Keputusan mengadakan muqabalah itu boleh dibuat oleh parti tetapi kalau perlu ia akan diputuskan dalam muktamar khas," katanya.

Abdul Hadi juga berkata, peranan kelab penyokong PAS akan ditingkatkan termasuk memberi jawatan senator kepada pemimpin mereka.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana pelantikan senator terpaksa melalui proses undang-undang negeri, maka ia mungkin mengambil masa untuk berbuat demikian.

"Tetapi kita telah melantik mereka dalam agensi-agensi milik kerajaan negeri," katanya.

Laksana hukum Islam

Ketika membuat ucapan penggulungan, Abdul Hadi berkata, PAS boleh bermuqabalah dan bermuzakarah dengan semua pihak selagi parti berpegang kepada prinsip asal.

Beliau menegaskan, PAS melalui kerajaan negeri yang dikuasai, wajib melaksanakan hukum-hukum Islam mengikut bidang kuasa yang ada.

"Jangan cakap sahaja tetapi tidak ada perlaksanaan, sebaliknya membuktikan bahawa syariat Islam itu tiada dalam ideologi dan peraturan-peraturan yang lain," katanya.

Walaupun, PAS katanya, tidak dapat mengamalkan hudud dan qisas, tetapi masih menunjukkan jiwa yang besar sehingga dihormati oleh pegawai-pegawai kerajaan kerana akhlak yang mulia.

"Kerana kita ada akhlak dan jati diri, orang hormat pada kita," katanya.

Presiden PAS menambah, majlis menteri besar di kalangan negeri yang diperintah oleh Pakatan akan diwujudkan sekurang-kurangnya untuk bertukar pengalaman antara mereka.

PAS, katanya tidak boleh bergerak dalam kepompong Pakatan sahaja, sebaliknya mesti melebarkan ruang lingkup parti itu.

"(Kerana) bila tiba masanya, semua akan dapat dilaksanakan," tambahnya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com