20080819

Hisham lancar 'Tukar Tiub' di Ptg Pauh

Penulis kolum Malaysiakini Hishamuddin Rais kali ini melancong ke Permatang Pauh dengan gaya baru - menulis blog tentang sosio-budaya kawasan kerusi parlimen itu disela-sela kehangatan kempen "ibu segala pilihanraya".

Dalam bahasanya, beliau menggelarnya "la grande battaile" tetapi bukan dalam konteks perlawanan fiesta lembu melawan manusia seperti disaksikannya di Sepanyol 20 tahun lalu.

"Kali akhir saya melihat fiesta yang ampuh dengan ribuan manusia ialah di Pamplona pada tahun 1988. Ini fiesta manusia lawan lembu yang diadakan di kota ini selama satu minggu bermula pada 7 Julai saban tahun," katanya hari ini.

"Pada 16 Ogos, fiesta di Permatang Pauh bukan lembu lawan manusia tetapi Pakatan Rakyat bangun melawan untuk menundukkan Barisan Nasional - la grande battaile."

Nama blog Tukar Tiub - yang khusus dibangunkan bersempena pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 26 Ogos ini - diambil daripada iklan penyedia khidmat menukar tiub motosikal yang sering dilihat di tepi-tepi jalan, khususnya tempat perhentian di pinggir lebuh raya.

"Tukar Tiub bukan macam Youtube walaupun bunyi seakan-akan sama. Tidak ada babak terlarang di Tukar Tiub," katanya, sambil ketawa.

"Tukar pemimpin politik tidak sama dengan tukar tiub. Tetapi kalau tayar dah pancit, kena tukar tiublah."

Hishamuddin, yang sering tidak bersetuju dengan gaya penulisan blog di negara ini, akhirnya menyertai arus keghairahan orang ramai termasuk ahli politik dan pemimpin negara membangunkan blog masing-masing selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Dalam artikel pertamanya di blognya itu (www.tukartiub.blogspot.com), bekas tahanan akta ISA itu juga menceritakan suasana sewaktu hari penamaan calon, termasuk kesesakan yang dialami penyokong kedua-dua parti utama yang bertanding, PKR dan BN.

Sewaktu dihubungi hari ini, Hishamuddin berkata beliau akan berkampung 24 jam sehari di kawasan itu hingga selesai pilihanraya kecil ini untuk melontarkan coretan-coretan pendek tentang Permatang Pauh.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com