20080813

MB Perak rakam terima kasih atas perkenan Raja Muda

Azamin Amin
Wed | Aug 13, 08 | 2:25:37 pm MYT

IPOH, 13 Ogos (Hrkh)- Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaludin merakamkan junjungan terima kasih dan penghargaan kepada Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah kerana memberi perkenan dan keizinan kepada Mursyidil Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan khutbah Jumaat ini.

Nizar berkata, ini satu penghormatan besar pada dua pucuk pimpinan parti dan umat Islam di negeri Perak seelok-eloknya merebut peluang keemasan yang jarang sekali menerima kesempatan seperti ini di negeri ini.

"Apapun saya bagi pihak kedua-dua pucuk pimpinan parti menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Raja Muda kerana diberikan lorongan dan perkenan keizinan sebagai Ketua Agama Negeri Perak Darul Ridzuan untuk mereka menyampaikan khutbah,"katanya yang dipetik daripada laman blog Setiausaha Akhbarnya Anuar Hasim.

Dilaporkan Raja Nazrin menyampaikan perkenan itu melalui Menteri Besar semasa menerima mengadap di istana hari ini sebelum mengadakan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah, mimbar Masjid Negeri dan Masjid Sultan Azlan Shah di sini Jumaat ini, masing-masing akan bergema dengan suara Mursyidil Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Perkenan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah disifatkan sebagai menghormati kunjungan dua ulama tersohor ini ke negeri Perak bersempena Muktamar PAS Ke-54 yang diadakan di Ipoh ini, kata laman blog terbabit. - mks. _


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com