20080819

NGO Islam setuju didikan seks di PLKN

Pertubuhan-pertubuhan Islam berbeza pandangan mengenai slot pendidikan seks dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan Januari tahun depan.

Sementara organisasi-organisasi yang bersetuju pula menerimanya dengan berat hati dan bersyarat.

Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) meletakkan beberapa syarat jika slot selama 10 jam itu hendak dimulakan awal 2009.

Kedua-dua persatuan ini berharap kerajaan mengambil berat soal kandungan modul itu. Mereka meminta kerajaan menyerapkan elemen-elemen agama dan perundangan Islam dalam modul yang bakal diperkenalkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen hari ini mengesahkan bahawa slot pendidikan seks yang diluluskan pada Mei lalu akan mula diperkenalkan beberapa bulan lagi.

Beliau berkata modul pendidikan itu akan dilaksanakan melalui slot khas di setiap kem PLKN.

ng yen yen and sexual education in nasional service khidmat negara 180808Skop pengajaran modul itu yang dikenali 'Self Preservation, Self Protection and Self Determination' merangkumi nilai individu dan keluarga, pemahaman perubahan struktur badan secara fizikal (mengikut gender) dan emosi.

Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli berkata elemen Islam perlu dimasukkan bagi menumpulkan rangsangan ke arah perzinaan.

Modul itu, kata presiden Gamis Muhammad Haafizuddin Abirerah, patut memperkatakan juga tentang kepentingan institusi perkahwinan untuk mengelak gejala yang tidak diingini.

"Perkara ini (pendidikan seks) tidak harus dilihat daripada sudut sains dan hormon tetapi pendidikan kerohanian," tambahnya.

Gamis berpendapat, modul yang mahu diperkenalkan itu hendaklah memfokuskan kepada penyelesaian masalah sosial generasi muda.

Selain itu PKPIM turut mencadangkan tenaga pengajar dilatih terlebih dahulu dalam sebuah program khas untuk memastikan mereka benar-benar layak mengajar modul berkenaan.

Mohd Hilmi mencadangkan kerajaan tidak melaksanakan modul itu secara serentak di seluruh kem-kem latihan di seluruh negara seperti dicadangkan Dr Ng, sebaliknya dimulakan di beberapa kem terpilih terlebih dahulu.

"Kalau (modul itu) bagus, kita teruskan. Kita tengok dulu apa perkembangannya," kata Mohd Hilmi.

Menolak cadangan kementerian berkenaan, Muslimat PAS berpendapat pendidikan seks mesti "diperkenalkan dengan lebih terurus, dalam suasana dan platform yang sesuai".

Setiausaha dewan itu Aiman Athirah al-Jundi berkata, program yang cuba diperkenalkan oleh Dr Ng itu "tidak kena dengan tempat dan masanya".

Keadaan pelatih PLKN di dalam hutan dan jauh daripada keluarga, jelasnya, boleh mendorong ke arah aktiviti seks di kalangan pelatih.

Beliau sebaliknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendidikan seks sebagai elemen tambahan subjek-subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sejak di sekolah rendah lagi apabila pelajar mula "datang haid dan akil baligh'.

"Mungkin (usia murid) sembilan atau 10 tahun. Orang sekarang cepat matang," katanya.

Aiman menambah, sebelum memperkenalkan pendidikan seks di PLKN, kerajaan perlu mengadakan kajian terperinci melibatkan banyak pihak merangkumi ilmuan agama, ahli psikologi, ahli sosiologi, dan ahli sains.

"Modul itu, jika diadakan juga, mungkin beberapa masalah akan timbul," katanya, antaranya kemungkinan timbul seks bebas dalam kalangan peserta kem.

"Muslimat akan bincang untuk menghantar memorandum kepada kementerian wanita serta Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) supaya mereka menangguhkan tindakan itu."

Sayap wanita PAS itu pernah membantah cadangan mewujudkan modul itu sewaktu Dr Ng mengumumkan Mei lalu bahawa kementeriannya dibenarkan berbuat demikian.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com