20080818

Sumpah Saiful Untuk Jatuhkan Anwar, Kata Dr Wan Azizah

BUKIT MERTAJAM, 16 Ogos (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, bekas pembantu peribadi kepada Penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

"Sumpah banyak kali pun, tetapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Aminuddin Baki di Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini Sabtu.

Beliau turut mendakwa Mohd Saiful Bukhari tidak mengetahui tujuan sebenarnya dia bersumpah.

Semalam Saiful Bukhari membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan mendakwa Anwar telah meliwat dirinya dalam keadaan paksaan.

Mengenai peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen itu, Dr Wan Azizah berkata beliau yakin dengan sokongan daripada penyokongnya, Anwar akan memenangi kerusi itu.

"Dahulu, saya yang menjaga mereka...sekarang kita tawarkan khidmat itu sekali lagi, insyAllah akan menang dan akan pertahankan kerusi Permatang Pauh.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anwar, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah, dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

-- BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com