20080813

Belia Permatang Pauh gelisah tanpa program

BUKIT MERTAJAM: Ketika penduduk Permatang Pauh menanti untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu pada 26 Ogos, kedengaran keluhan dan harapan di kalangan belia di situ berhubung nasib mereka yang terabai sejak hampir 10 tahun lepas.

Mereka gelisah selama dua penggal sejak kerusi itu dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula tahun 1999, kerana tiada lagi program melibatkan belia seperti pertandingan bola sepak, konvoi berkereta, bermotosikal atau kegiatan ekonomi berkumpulan yang memberi manfaat kepada mereka.

Mohd Faizal Omar, 26, yang ditemui Bernama berpendapat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sekarang perlu mewujudkan satu pembaharuan terutamanya daripada segi program yang melibatkan golongan belia di Permatang Pauh.

Katanya jika tiada sebarang pengisian aktiviti atau pun pembangunan seperti kawasan rekreasi, pusat membeli belah atau pun menaiktaraf kompleks sukan kepada golongan belia, ia dikhuatiri akan menyebabkan gejala sosial meruncing.

"Saya rasa pembaharuan perlu dilakukan kerana sekarang aktiviti melibatkan golongan belia semakin kurang dan untuk mengisi kesunyian itu, golongan ini lebih suka lepak di kompleks membeli belah dan kawasan rekreasi daripada mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

"Setakat ini saya belum nampak apaapa pun program yang dibuat untuk kami oleh Pakatan Rakyat. Saya berasa sedikit kecewa kerana walaupun ada kemudahan untuk kami tetapi itu sudah lama. Kami di sini mahukan pembaharuan. Tidak kira siapa pun pemimpin di sini, kami cuma mahu pembangunan dan perhatian terhadap kami tidak diabaikan," katanya.

Kenyataan Mohd Faizal disokong oleh Nurul Hazira Mohd Razali, 27, dari Kampung Sama Gagah, yang masih menganggur walaupun mempunyai ijazah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nurul Hazira berpendapat bahawa peluang pekerjaan perlu diwujudkan untuk golongan belia terutama lepasan sekolah dan universiti.

Katanya keadaan semakin sukar kerana peluang pekerjaan di sini semakin susah untuk diperolehi berbanding ketika diperintah oleh BN pada 2004.

"Peluang kerja mestilah banyak termasuk membangunkan pusatpusat peranginan atau pun meneroka kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sekaligus memberi peluang pekerjaan.

"Saya sebagai belia bukanlah menilai sesiapa yang jadi pemimpin di sini atas dasar politik, tetapi mereka yang boleh menjaga kebajikan kami. Kami tidak mahu terus terpinggir daripada arus pembangunan yang dibuat kerajaan," katanya.

Beliau turut mengakui setelah diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP tiada sebarang program yang dibuat untuk memastikan belia mendapat kesempurnaan hidup yang baik.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang Ong Kok Fooi berkata kerajaan Pulau Pinang telah mengatur pelbagai acara untuk golongan itu tanpa membezakan kawasan.

Katanya untuk membangunkan pembangunan belia, sebarang sentimen politik harus diketepikan.

"Kita memberikan tumpuan pada semua tempat bukan hanya di Permatang Pauh. Pelbagai program kita buat untuk mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Ong dibidas Pegawai Belia Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Abdul Munir Abdullah.

Abdul Munir berkata setelah kerajaan bertukar tangan pada 8 Mac lepas, tiada sebarang pembaharuan dibuat terutamanya dalam aspek pembangunan belia di bawah kerajaan pimpinan DAP.

"Setakat ini, kita belum dengar ada program yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Sewaktu diperintah kerajaan BN, memang banyak aktiviti," katanya.

Beliau berkata program yang dianjurkan kerajaan persekutuan sentiasa mendapat sambutan yang mengalakkan di kalangan belia di Permatang Pauh.

Katanya kebanyakan belia di Permatang Pauh telah mula membabitkan diri menyertai persatuanpersatuan yang berdaftar di bawah KBS.

"Sebagai contoh terbaru, kita telah mengadakan aktiviti "Kembara Israk Mikraj" yang disertai hampir 50 peserta yang terdiri daripada mat rempit dan juga kita telah mengadakan seminar ilmiah yang turut mendapat sambutan.

"Ini menunjukkan aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan (Persekutuan) masih mendapat sambutan dan yang terbaru kita masih lagi di peringkat perbincangan untuk mengadakan aktiviti bola tampar, bola sepak dan sukaneka untuk belia di SPT pada 23 dan 24 Ogos ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan belia bagi menyesuaikan program untuk mereka.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar, dan daripada jumlah itu seramai 23,502 adalah daripada belia yang berumur lingkungan 21 tahun hingga 40 tahun iaitu sebanyak 40.21 peratus.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail daripada BN dengan majoriti 13,398 undi.

Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi itu 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di situ. BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com