20080818

Harga Kemenangan Anwar di Permatang Pauh Terlalu Tinggi

Image

Kali pertama Anwar menyertai pilihan raya ialah pada 1982. Selepas itu 1986 diikuti 1990, dan terakhir 1995. Kesemua pilihan raya itu beliau turun sebagai wira yang penuh kemegahan dan dibungamanggarkan.

ANTARA KITA

Mohd Sayuti Omar

MESKIPUN Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos nanti merupakan penyertaan kali ke empat dalam sejarah peribadinya berpilihan raya, namun ia bolehlah dianggap penyertaan kali ke lima ini sebagai penyertaan kali pertama.

Ini kerana rekod dan kejayaan-kejayaannya dalam empat kali berpilihan raya sebelum ini tidak lagi boleh diambil kira. Semua rekod dan kerjayaan cemerlang Anwar itu sudah terpadam dan dimusnahkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang kini cuba hendak disahkan pula Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar turun ke gelanggang kali ini dengan tangan kosong tidak seperti mana beliau turun empat kali sebelum ini yang diiringi dengan bala tentera dan lengkap dengan persenjataan canggih. Jika hendak dikira inilah pertarungan sebenar Anwar dalam politik yang meletakkan diri dan kekuatan peribadinya sebagai cagaran dan modal sebenar.

Kali pertama Anwar menyertai pilihan raya ialah pada 1982. Selepas itu 1986 diikuti 1990, dan terakhir 1995. Kesemua pilihan raya itu beliau turun sebagai wira yang penuh kemegahan dan dibungamanggarkan. Kerana beliau turun sebagai calon parti memerintah penyertaan itu bolehlah dianggap sebagai formaliti saja kerana kemenangan sudah tergenggam dalam tangan.

Kenapa dikatakan begitu? Kerana bila beliau bertanding atas tikit Umno (BN) ia memiliki segala-galanya dan disediakan dari wang pertaruhan sampailah kepada poster. Segala kemudahan kerajaan dieksploitasikan bagi membantunya. Manakala melawan pembangkang pula sepertilah melawan orang yang diberkas tangan dan kaki. Keadaan perlawanan itu boleh di umpamakan BN ialah Rahim Nor manakala pembangkang ialah Anwar!

Berlainan kali ini beliau turun dengan serba kekurangan dan menggunakan kudrat dan iradatnya sendiri. Beliau turun bukan lagi sebagai wira yang disanjung sebuah kerajaan tetapi sebagai tokoh rakyat dari pembangkang. Kali ini beliau adalah calon under-dog. Jadi perlawan kali ini adalah besar erti dan maknanya.

Walaupun kerusi itu warisan dari beliau kemudian diteruskan oleh isterinya, namun semua warisan itu tidak lagi memberi apa-apa makna kerana ianya dimusnahkah. Selama 10 tahun tempoh diambil untuk memusnahkan imej dan menjahanamkan maruahnnya. Rekod-rekod yang dicipta dalam tempoh lebih 15 tahun bersama Umno juga dipadamkan dengan secara amat dahsyat.

Terbaru pendakwaan atas tuduhan liwat pada 7 Julai lalu adalah sebagai usaha berterusan bagi menghakiskan maruah, kehebatan dan ketokohan Anwar. Jadi beliau ke pusat penamaan calon hari ini dengan tangan kosong, maruah yang tercalar.

Beliau turun kini sebagai pembangkang yang serba kedaifan dan kemiskinan kebendaan dan kemudahan. Beliau turut benar-benar dengan suara, semangat dan jeritan rakyat. Justeru kalau beliau menang, ia memberi erti dan makna besar kepada dirinya dan juga PKR dan Pakatan Rakyat – DAP dan Pas.

Kemenangan itu tidak syak lagi membolehkan beliau dinobati sebagai wira sebenarnya yang datang dari lembah yang kemudian akan membentuk gunung politik baru negara ini. Kemenangan itu apa lagi dengan majoriti lebih 10,000 mengesahkan kehebatannya bahawa Anwar tidak boleh dibunuh dan mengesahkan beliau mempunyai tujuh nyawa politik.

Semestinya kerajaan dan tokoh-tokoh berjois daripada kerajaan perlu memikir semula tindakan mereka. Sejarah yang sedang difikir untuk ditulis oleh tokoh-tokoh Umno perlulah difikirkan semula niat itu.

Kemenangan besar Anwar kelak akan meletakkan dan menjadikan pemimpin BN terperosok dan perlu menilai semula ke atas tindakan politik mereka. Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Syed Hamid Albar yang disyak menjadi regim baru penerus kepada regim lama perlu memberi pengikhtirafan kepada Anwar tanpa dolak dalih lagi.

Kemenangan besar Anwar itu adalah kehendak rakyat yang tidak boleh dihalang dengan apa-apa alasan lagi. Kemenangan besar Anwar 26 Ogos nanti akan bermulanya satu tiupan taufan kebangkitan rakyat yang mengharapkan terbangunnya sebuah Malaysia Baru.

Justeru tindakan dan keputusan berikut adalah wajar dan adil difikir untuk dilakukan kepada Anwar sebagai hadiah dan anugerah atas kemenangan itu;

1. Batalkan pendakwaan ke atas Anwar berhubung tuduhan liwat.

2. Berikan keadilan kepada Anwar dengan mengembalikan segala hak-haknya sebagai warganegara yang berdaulat untuk mendapat;.

(i) Bayaran gratia kepada Anwar untuk jawatan timbalan perdana menteri, menteri dan ahli Parlimen.

(ii) Bayaran pencen perlu diberikan bermula pada tarikh munasabah.

(iii) Kerajaan Barisan Nasional khasnya Umno perlu memohon maaf kepada Anwar.

Saya percaya bagi Anwar tuntutan-tuntutan diatas itu lebih afdal dari sebuah jawatan bernama Perdana Menteri sebab antara dirinya dengan jawatan PM, tentulah Anwar lebih menyanyangi dan kagum dengan dirinya sebagai hamba Allah berbangsa Melayu. Bagaimana pun pada rakyat balasan yang mereka harus berikan kepada Anwar ialah jawatan Perdana Menteri ke-6.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com