(Malaysiakini) - Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.
Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.
Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.
Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima lims bantahan tetapi semuanya ditolak.
Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.
Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.
Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.
Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.
Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi pada jam 9.55 pagi.
Roslan bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai penarikan diri Dr Mansor.
'Perang mulut'
Sementara itu sepanjang menunggu proses pengumuman calon, keadaan di luar dewan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'berperang mulut'.
Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang. Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang.
Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali. Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan 'Hidup BN' oleh penyokong BN.
Kedengaran juga penyokong PKR yang meluangkan 'Saiful penipu' dan 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.
Keadaan tegang sedikit pada kira-kira jam 10.55 apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.
Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.
Penyokong kedua belah turut membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!.
Sebelum itu, Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun pada kira-kira jam 8.50 pagi, penyokong kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.
Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter.
No comments:
Post a Comment