20080813

Pemuda Umno Perak puji pendirian pelajar UiTM

IPOH: Pemuda Umno Perak memuji tindakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berarak beramairamai membantah cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya 10 peratus kuota pelajar universiti itu dibuka kepada bukan Bumipuitera.

"Kita bangga dengan kesedaran dan kebangkitan pelajar mempertahankan institusi yang berjasa dan menjadi kebanggaan Melayu dan Bumiputera," kata Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharuddin kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, lebih 5,000 pelajar UiTM di Shah Alam berarak sejauh dua kilometer ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor itu sebagai tanda bantahan dan untuk menyerahkan memorandum yang menyatakan rasa kesal mereka terhadap cadangan itu.

Zainol Fadzi menyifatkan Abdul Khalid sebagai boneka kepada DAP kerana cadangan itu sebenarnya adalah luahan daripada perjuangan DAP untuk mewujudkan "Malaysian Malaysia".

"Apa yang kita risau selama ini, kini telah mula berlaku apabila lidah, mulut dan tindakan seperti itu datang daripada pemimpin Melayu sendiri tanpa perlu diluahkan oleh DAP," katanya.

Ketua Bahagian Umno Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan pula berkata cadangan Abdul Khalid itu adalah mainan politik Parti Keadilan Rakyat untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

"Cadangan itu jelas tidak dapat diterima oleh orang Melayu dan Bumiputera," katanya.
Mohd Zaim turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan pengurusan UiTM kerana mempertahankan dasar pengambilan pelajar di universiti itu. BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com