20080813

2 minggu sibuk buat BN, Pakatan Rakyat

13-08-2008 02:50:06 PM
Oleh G. MANIMARAN dan AFFIFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Tempoh dua minggu datang mulai hari ini merupakan masa yang sibuk bagi parti-parti politik utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Bukan sahaja mengadakan persidangan tahunan, kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat akan bertembung menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh - yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Kongres Kebangsaan DAP Ke-15 akan berlangsung di Kuala Lumpur selama dua hari mulai 23 Ogos ini - tiga hari sebelum hari pengundian di Permatang Pauh.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding.

Kongres tahunan itu, yang turut dilihat sebagai sesuatu yang menarik sejak perubahan landskap politik negara lima bulan lalu, tidak akan menjejaskan kempen Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan pengundi di Parlimen Permatang Pauh, kata Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, soal usaha meraih undi di kalangan masyarakat Cina di kawasan itu akan terjejas berikutan ketiadaan sebahagian jentera DAP, tidak timbul sama sekali.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Pakatan Rakyat selama ini tidak menumpukan perhatian hanya kepada satu-satu kaum sahaja, tetapi sebaliknya sentiasa memberi perhatian kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya pendekatan bersepadu oleh semua anggota Pakatan Rakyat akan memastikan kemenangan berpihak kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil parlimen itu pada 26 Ogos ini.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan selepas anggota parlimennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding pada pilihan raya kecil.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh penamaan calon dan 26 Ogos sebagai tarikh mengundi.

Kongres DAP, persaingan sengit

Selepas mempamerkan prestasi terbaik pada pilihan raya umum lepas, 73 pemimpin DAP kini bersiap sedia untuk bertanding bagi 20 jawatan tinggi parti di peringkat pusat yang dijadual berlangsung selama dua hari dari 23 Ogos hingga 24
Ogos sempena Kongres Kebangsaan tiga tahun sekali parti itu.

Antara mereka ialah Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang; Pengerusi Karpal Singh dan Penasihat parti, Lim Kit Siang.

Antara muka baru ialah masing-masing Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Jelutong (Jeff ooi); Petaling Jaya Utara (Tony Pua); Serdang (Teo Nie Ching) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Menurut Setiausaha Organisasi Penganjur Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, "ini merupakan kali pertama DAP menyaksikan 73 anggotanya dicalonkan untuk bertanding bagi 20 jawatan jawatankuasa eksekutif pusat parti."


Muktamar PAS Ke-54

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar menyifatkan Muktamar PAS yang bakal berlangsung minggu ini adalah begitu signifikasi terutamanya selepas pilihan raya umum lalu.

“Muktamar kali ini cukup berbeza dengan yang terdahulu setelah kita (PAS) menang besar dalam pilihan raya lalu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Muktamar PAS Ke-54 yang akan berlangsung di Ipoh, Perak akan bermula dari 13 hingga 17 Ogos ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, PAS berjaya mendominasi pentadbiran kerajaan negeri dengan lantikan Menteri Besar di kalangan wakil PAS di Perak dan
Kedah selain terus mengekalkan kuasanya di Kelantan serta kerjasama dalam Pakatan
Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

“Sudah pasti para perwakilan akan memberi banyak teguran dan saranan mengenai prestasi cemerlang PAS semasa Muktamar itu nanti.

“Apa yang penting kita akan memberi peluang kepada perwakilan dari seluruh negara mengutarakan pendapat mereka bagi memperkukuhkan parti,” katanya.

Tambah beliau perkara yang ditunggu-tunggu oleh para perwakilan yang hadir nanti ialah untuk mendengar ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kamarudin juga percaya antara isu menarik yang bakal dibangkitkan oleh para perwakilan ialah mengenai isu muzakarah antara PAS dan Umno yang mendapat pelbagai reaksi berbeza di kalangan ahli dan pemimpin PAS.

“Isu mengenai ahli bukan Islam juga dijangka akan dibangkitkan selain isu keanggotaan PAS untuk bersama komponen lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Melalui Muktamar kali ini juga PAS akan membuktikan kesetiaan mereka untuk terus berjuang bersama pakatan pembangkang yang lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Kamarudin berharap Muktamar yang julung kali diadakan di Perak ini akan memperlihatkan kematangan para perwakilan yang hadir bagi mencerminkan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan kepentingan rakyat.

“Secara peribadi saya menghormati semua perwakilan yang akan hadir dan berharap mereka akan melihat Muktamar kali ini secara positif kepada kepentingan Islam dan parti yang diperjuangkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata agenda utama Pemuda PAS pada Muktamar kali ini ialah membawa anjakan pemikiran yang lebih konstruktif demi kemajuan negara.

Agenda yang penting ialah pemuda mesti dilihat mampu memainkan peranan yang jitu dan berani melakukan perubahan kearah yang lebih positif untuk masa depan negara,” katanya.

Tambahnya, beliau mahu rakyat melihat barisan pemuda PAS sentiasa kehadapan dengan memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat.

“Kita mahu meyakinkan rakyat bahawa PAS adalah alternatif kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam soal memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut Salahuddin, beliau mahu masyarakat melihat PAS bukan sebagai sebuah parti pembangkang sebaliknya sebagai sebuah parti yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Selain itu bagi Salahuddin, Muktamar kali ini akan menjadi medan kepada PAS untuk sekali lagi mengulangi pendirian mereka kekal bersama Pakatan Rakyat.

“Kita akan gunakan kesempatan ini untuk nyatakan pendirian kita agar tidak akan bekerjasama dengan Umno dan BN terutamanya dalam soal perkongsian kuasa,” katanya.

Umno, PKR bertarung

Umno akan meletakkan calonnya mewakili BN manakala Anwar, Penasihat PKR pula akan turun bagi pihak PKR, komponen Pakatan Rakyat.

Umno belum mengumumkan nama calonnya.

Mengambil kira pertimbangan tersebut, kedua-dua parti berkenaan akan menghabiskan masa dengan memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil.

Pemimpin-pemimpin Umno dan PKR yang dihubungi mStar Online mengakui sibuk dengan usaha mengatur pertemuan dan strategi menguasai kerusi Parlimen Permatang Pauh.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com