Oleh G. MANIMARAN, ZIEMAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika semakin kuatnya spekulasi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh akan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil kerusi itu, Mufti Perlis pula menyeru calon-calon yang bakal bertanding agar "bebaskan kempen daripada rasuah undi, caci-maki, tuduh-menuduh tanpa bukti, penggunaan bahasa atau isyarat yang kasar dan kesat."
mStar Online difahamkan Datuk Abdul Jalil Abdul Majid akan mengetuai cabaran Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sumber-sumber juga memberitahu, pucuk pimpinan sudah memberi 'lampu hijau' kepada Abdul Jalil atas beberapa pertimbangan termasuk sebagai 'orang yang paling sesuai' untuk menawan kembali kerusi itu daripada pembangkang.
Penamaan calon akan berlangsung 16 Ogos ini manakala pengundian diadakan pada 26 Ogos.
Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat esok, dipercayai akan menyentuh mengenai strategi khusus termasuk bakal calon. Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Setakat ini hanya nama Abdul Jalil dikemukakan kepada Abdullah, yang juga Pengerusi BN, untuk pertimbangan.
Dalam tulisannya, Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin yang juga seorang pemilih di bahagian Permatang Pauh, mengingatkan calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya Permatang Pauh agar jangan sekali-kali melupakan prinsip-prinsip Islam yang harmoni dan lurus.
Kata beliau: "Proses demokrasi jika tidak dipandu dengan kesedaran Islam akan menjerumuskan kita ke kancah yang serba jijik dan kotor."
"Lihatlah apa yang terjadi dalam masyarakat kita apabila berpegang dengan demokrasi yang tidak ditapis dengan tapisan wahyu ilahi; lahirnya politik wang, permusuhan sesama muslim tanpa alasan yang benar, fitnah-mengfitnah, caci-mencaci dan segala macam racun permusuhan dan kebencian yang hidup atas nama baja demokrasi," katanya.
Justeru tambah beliau, dalam mencapai hasrat kuasa dan memenangi persaingan untuk mendapatkan kuasa ramai pemain di gelanggang demokrasi itu melupai prinsip-prinsip Islam yang harmoni dan lurus.
"Maka, saya yang teramat daif ini mengambil kesempatan mengingatkan para calon dan mereka yang terlibat dalam kempen pilihan raya Permatang Pauh – yang kebetulan juga merupakan kawasan undi saya- untuk berpegang dengan prinsip-prinsip Islam ketika berkempen," jelas beliau dalam blognya.
Pesanan beliau juga menegaskan, "bebaskan kempen anda dari rasuah undi, caci-maki, tuduh-menuduh tanpa bukti, penggunaan bahasa atau isyarat yang kasar dan kesat, membuka aib orang tanpa sebarang keperluan yang diizinkan syarak dan seumpamanya."
"Kesemua itu adalah dosa walaupun atas nama demokrasi dan kegilaan undi! Keperluan politik umat bukan itu semua.
"Sebaliknya kita ingin mendengar siapakah yang memiliki pemikiran dan idea yang mampu membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih harmoni, terurus dan sopan berdasarkan teras-teras yang diredhahi Allah," katanya.
Tambah beliau, calon-calon mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat untuk hidup dalam iklim politik yang harmoni dan penuh kesantunan.
"Janganlah nanti generasi baru yang sedang membesar akhirnya tidak mengenali politik melainkan dengan wajah serba kehodohan dan kebiadapan cara dan bahasa.
"Hak-hak setiap muslim lebih mulia di sisi Allah daripada kerusi politik yang menjadi kegilaan sebahagian manusia.
"Kita sudah penat mendengar maki hamun, ketidakjujuran, pembohongan dan penipuan atas nama politik. Berilah ruang untuk rakyat hidup dalam udara politik yang bersih dan segar. Jangan jadikan mereka terbiasa dengan pencemaran sehingga akhirnya mereka sebati dengan kejijikan siasah yang tiada penghujungnya," kata beliau yang mengakhiri amanatnya dengan kata-kata "Seorang Pengundi Anda: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin."
Dalam pada itu, Abdul Jalil pula berkata, pihaknya tidak mendengar sebarang berita mengenai calon yang terpilih atau pun yang telah disenarai pendek.
“Saya pun tidak tahu. Setakat ini, saya tidak ada dengar apa-apa lagi,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Hari ini Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan dua pertemuan di Permatang Pauh iaitu dengan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang pada sebelah petang dan bersama jentera pilihan raya negeri itu pada sebelah malam.
Ditanya sama ada kemungkinan Najib mengumumkan calon untuk menentang Anwar pada pertemuan hari ini, Abdul Jalil berkata, dia juga tidak tahu.
“Saya tidak tahu. Tunggu sahaja selepas pertemuan esok,” katanya.
Abdul Jalil berkata, tiga pemimpin tertinggi Umno iaitu Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ali Rustam serta Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib telah dilantik menjadi ‘bapa angkat’ kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Permatang Pauh bagi memantau persediaan dan perlaksanaan kempen-kempen BN di setiap kawasan.
“Hari ini, saya dan Datuk Seri Ali Rustam ke DUN Penanti yang menjadi anak angkat beliau.
“Kita berjumpa dengan lebih 300 anggota jentera BN di kawasan itu. Kami bertukar-tukar pendapat dalam usaha memperbaiki cara berkempen kita nanti.
“Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin yang memegang DUN Seberang Jaya dan Tan Sri Muhammad bagi DUN Permatang Pasir dijangka akan turun ke kawasan kita dalam minggu ini untuk bertemu dengan jentera BN di kawasan anak angkat masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Umno Permatang Pauh, Ahmad Sahar Shuib ketika dihubungi berkata, petang semalam juga berlangsung mesyuarat lebih satu jam antara semua wakil parti komponen BN Pulau Pinang.
“Semua pengerusi parti komponen iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Jalil.
“Mereka semua menyatakan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan BN berjaya merampas kembali kerusi Permatang Pauh daripada PKR,” katanya.
Ahmad Sahar berkata, mereka menjangkakan kira-kira 10,000 penyokong BN akan hadir di Institut Perguruan Tengku Bainun di Penanti untuk hari penamaan calon yang akan diadakan Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment