20080813

Tafakur: PAS Terengganu sokong kenyataan Mufti Perlis

Khairul Azlam Mohmad
Wed | Aug 13, 08 | 9:48:44 am MYT

KUALA NERUS, 13 Ogos (Hrkh) - PAS menyokong pendapat serta pandangan Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin bahawa perbuatan bertafakur di Tugu Peringatan Negara bercanggah dengan amalan Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata perbuatan bertafakur dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam sebenar.

Katanya, perbuatan tersebut menyerupai amalan di zaman jahiliah yang wajar dihentikan kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah Islam.

"Kami (PAS) menyokong pendapat dan pandangan Mufti Perlis yang mendakwa perbuatan pemimpin negara bertafakur, meletakkan bunga dan tabik hormat di hadapan Tugu Peringatan Negara bercanggah dengan Islam dan perlu dihentikan segera," ujarnya kepada Harakah baru-baru ini.

Menurut Ustaz Abu Bakar, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ketua negara yang pernah mengetuai Negara-negara Islam (OIC) tidak sepatutnya melakukan upacara tersebut.

Katanya, perbuatan serta amalan tersebut sama sekali bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

"Pendirian kita (PAS), perbuatan itu tidak kena dengan cara Islam dan saya cadangkan supaya kerajaan segera menghentikan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam," tegasnya.

Sebelum ini, Mufti Perlis telah membuat teguran terbuka mengenai istiadat meletak kalungan bunga, tabik hormat serta bertafakur di hadapan Tugu Peringatan Negara sempena Hari Pahlawan, pada 31 Julai lalu.

Katanya, Islam menentang sebarang unsur keberhalaan yang boleh merosakkan pemikiran dan pegangan mengikut nas ajaran Islam yang menjadi tunjang kehidupan ummah.

Menurutnya, pemimpin dan anggota masyarakat yang terlibat dengan perbuatan tersebut hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT serta kembali kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan hadis. - tmj/mks. _

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com