Kewujudan dasar kuota bukan sesuatu yang baru, namun tetap mencetus pertikaian. Atas nama Dasar Ekonomi Baru, kebanyakan negeri menetapkan kuota perumahan 30% untuk bumiputera, iaitu mewajibkan pemaju agar 30% unit rumah atau kedai yang dibina atas tanah hak milik bebas (freehold land), dirizabkan dan diberi diskaun 5% untuk bumiputera.
Kerajaan negeri Kedah melaksanakan dasar ini untuk puluhan tahun yang lalu, sehinggalah PR mengambil-alih kuasa. Sementara pemimpin PR, Anwar Ibrahim (gambar kiri) berusaha untuk menamatkan DEB, kerajaan PR Kedah pula menyuntik semangat baru kepada DEB, dengan mempertingkatkan kuota kepada 50%.
Keputusan PR Kedah ini jelas terpesong dari pendirian PR di pusat, malah memberi gambaran seolah-olah bersaing dengan UMNO untuk menunjuk siapa yang lebih tebal corak perkaumannya.
Dasar yang menggemparkan ini cuba diredai. Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mendakwa bahawa Real Estate And Housing Developers' Association (REHDA) telah meminta maaf kepada dirinya, maka kontroversi kuota 50% telah melabuh tirai. REHDA yang kurang puas hati dengan kenyataan sedemikian, bagaimanapun tidak menyanggah secara terbuka kerana khuatir berdepan dengan tekanan jika berbuat demikian.
Anggota REHDA ketika ditemuramah MerdekaReview, menjelaskan bahawa mereka tidak meminta maaf kepada MB, hanya berasa kesal terhadap sesetengah laporan media yang mencetuskan salah faham. Walaupun isu ini akhirnya lenyap dari dada media, namun tetap kekal sebagai masalah yang terpendam dalam hati mereka yang terlibat.
Dasar mencetuskan masalah
Kesan dasar ini bukan sahaja melanda pemaju, tetapi turut menimpa pembeli rumah. Oleh sebab kuota rumah atau kedai yang dimiliki bumiputera tidak boleh dijual kepada bukan bumiputera, maka pembeli bukan bumiputera mahupun bumiputera, cenderung untuk membeli rumah dari kuota bukan bumiputera. Kesannya, harga perumahan bukan bumiputera semakin melonjak, sementara perumahan dari kuota bumiputera tidak mendapat sambutan.
Keadaan meruncing apabila kerajaan negeri mempertingkatkan kuota bumiputera kepada 50%. Pengerusi REHDA cawangan Kedah-Perlis, Ricque Liew (gambar kanan) memberi amaran kepada kerajaan negeri pada Oktober 2008, bahawa banyak syarikat pemaju akan menggulung tikar seandainya dasar tersebut diteruskan.
Ricque Liew menambah, keuntungan yang diperolehi dari tukar-tangan hak milik hartanah tidak tinggi, sehingga sesetengah bumiputera enggan membelinya. Malah, hartanah bumiputera sukar dijual kerana pembelinya terhad kepada bumiputera.
"Kami rasa tertipu!"
Masalah baru tercetus dari masalah sedia ada, ditimbunkan dan menjadi semakin kompleks. Penjelasan dari pihak kerajaan negeri dianggap tidak memberi jawapan kepada persoalan. Kemarahan meluap-luap di dada sesetengah pemaju kerana mereka secara senyap-senyap menyumbang dana dan tenaga ketika PRU ke-12 untuk menumpaskan BN, yang dilihat terlalu korup.
Mengimbas kembali, pemaju yang enggan mendedahkan namanya ini memberitahu MerdekaReview, "Kami rasa tertipu!" Beliau mengaku bahawa dirinya kesal setelah menaikkan kerajaan PR, memandangkan dasar perkauman yang dilaksanakan PAS, tidak kurang dari UMNO.
Pemaju terbingung apabila Phahrolrazi Mohd Zawawi menjadi Exco Kerajaan Kedah pertama yang mengesahkan dasar penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera. Lantas, mereka cuba mendapat kesahan yang lebih lanjut. Namun, Exco yang lain hanya terpinga-pinga tanpa mengetahui apa-apa ketika ditanya.
Justeru itu, spekulasi yang menular di kalangan pemaju menuduh Phahrolrazi sebagai dalang di sebalik dasar ini. Pemaju mempercayai bahawa Menteri Besar, Azizan Abdul Razak turut menjadi mangsa. Menurut mereka, selepas pengumuman dibuat, Azizan yang enggan memikul tuduhan "menarik balik dasar bumiputera", terpaksa meneruskan dasar yang mencetus kontroversi ini.
Peranan Phahrolrazi dipertikai
Malah, menurut pemerhatian wartawan MerdekaReview, Phahrolrazi, nama yang agak berbelit ketika disebut, diulangi berkali-kali ketika tokoh tempatan merungut segala kepincangan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah. Exco negeri Kedah yang memegang portfolio Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga, menjadi tumpuan kebanyakan pertikaian.
Menurut orang dalaman PAS, MB Kedah, Azizan Abdul Razak yang agak uzur, menyerah kepada Phahrolrazi Mohd Zawawi (gambar kanan) untuk memberi kata putus ketika berdepan dengan dasar yang penting. Malah, penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera, dan perobohan pusat penyembelihan khinzir yang paling dipertikaikan komuniti Cina, "dikatakan" muncul dari ilham Phahrolrazi.
Orang dalaman PAS menyifatkan bahawa peranan yang dimainkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah dalam kerajaan negeri, seakan-akan seorang Timbalan Menteri Besar. Tindak-tanduk Phahrolrazi dikatakan "berbau perkauman", cuba menonjolkan diri sebagai "Wira Melayu".
Untuk sesetengah pemaju, usaha menggantikan PAS dengan UMNO tidak bermakna seandainya dasar perkauman diteruskan, malah menjadi lebih parah. Rungutan kedengaran di mana-mana.
Nostalgia "ada duit maka selesai masalah" mula berligar dalam otak sesetengah pemaju, apabila menghadapi pelbagai rintangan yang dianggap tidak memerlukan. Janji tidak ditunaikan. Jawatankuasa yang perlu disegerakan penubuhannya, ditundakan. Kini mereka merenung, bagaimana menamatkan pemerintahan kerajaan PR di negeri Kedah. (Siri 2, akan disambung...Phahrolrazi menjawab tuduhan)
*Analisa ini ditulis Chan Wei See, Editor MerdekaReview, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.
No comments:
Post a Comment