Gerakan mendesak supaya dimansuhkan dasar-dasar yang dianggapnya tidak demokratik ke arah membina sebuah masyarakat yang stabil dan harmoni, selaras dengan era peralihan kepimpinan baru negara, khususnya dalam Umno.
Sehubungan itu, setiausaha biro pembangunan sosial dan kesihatan awam Gerakan, Dr Wong Ruen Yuan berkata, tiga perkara utama yang mesti disemak semula ialah pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menghentikan polarisasi kaum serta menyediakan peluang sama rata dalam bidang pendidikan.
"Dalam melangkah ke era peralihan kepimpinan baru di Malaysia, terutamanya dalam Umno, maka sudah tiba masanya untuk menyemak semula isu perpaduan nasional ini dengan serius dan bersungguh-sungguh, dengan mengambil pendekatan yang lebih pragmatik," tegasnya.
Dr Wong turut menyentuh kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mahathir mengenai pertubuhan pendidikan Cina yang didakwa rasis dan bersikap apartheid.
Sehubungan itu, dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kegagalan pelaksanaan Sekolah Wawasan tidak boleh dipersalahkan kepada masyakat Cina semata-mata.
Pastinya, tegas beliau, langkah menyediakan sekolah yang sama untuk semua bangsa bukan merupakan penyelesaian mutlak ke arah meningkatkan hubungan antara kaum di Malaysia.
Dr Wong berkata, salah satu sebab utama penentangan masyarakat Cina terhadap perkara tersebut mungkin berpunca daripada dasar-dasar kerajaan, terutama yang berorientasikan kaum.
Manfaat semua kaum
"Oleh itu, sekiranya isu perpaduan nasional atau kemungkinan sikap apartheid ini dipandang berat oleh mantan perdana menteri itu, maka sudah tiba masanya bagi seluruh negara, terutama kerajaan BN yang diterajui Umno untuk menyemak semula dan memansuhkan mana-mana dasar yang boleh menjejaskan perpaduan nasional," tegasnya.
Pada umumnya, tegas beliau, pelaksanaan DEB selama lebih 30 tahun sejak 1971, bukan sahaja telah berjaya meningkatkan kedudukan masyarakat orang Melayu di Malaysia tetapi seterusnya mengatasi masyarakat Cina dan India dalam banyak aspek, termasuk ekonomi, politik dan pendidikan.
"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk memikirkan semula stratergi baru dan lebih sesuai yang memanfaatkan semua bangsa di Malaysia," katanya.
Mengenai masalah polarisasi kaum pula, Dr Wong berkata, sekiranya ia berterusan, maka persefahaman antara kaum yang berkongsi impian dan masa depan Malaysia, akan terjejas.
Menurutnya lagi, walaupun kanak-kanak semua kaum berkongsi premis yang sama untuk belajar, dalam senario yang sama juga, tetapi Sekolah Wawasan mungkin tidak membawa perkara itu ke hadapan.
"Satu lagi perkara yang harus diberi perhatian ialah kesaksamaan dalam bidang pendidikan. Sekolah vernakular harus diberi perhatian yang sama dan dinilai sebagai sumber penting negara, selaras dengan arus globalisasi dan era kebangkitan Asia," katanya.
Berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang baru-baru ini mula memperkenalkan pendidikan Cina untuk memenuhi permintaan pasaran China, Dr Wong berkata, Malaysia sudah lama di hadapan dan telah mendapat pengiktirafan.
Malangnya, tambah beliau, kesemua ini tidak diberi perhatian dan kemudahan di sekolah vernakular tidak dinaik taraf seperti sepatutnya manakala jumlahnya juga tidak mencukupi.
No comments:
Post a Comment