20090430

Arus Perjuangan Baru

Terik matahari dan hari bekerja buat warga Bukit Selambau tidak menghalang mereka untuk menghadiri acara perasmian Pusat Khidmat Bukit Selambau. Hadir sama ialah YB Ahmad Kasim, YB Dato Rashid Din, YB Senator Zamry, YB Gobala dan mantan Naib Presiden PPP Dato V. Nadarajan.

Majlis ini juga menyaksikan YB Manikumar melafazkan ikrar untuk berkhidmat demi rakyat tanpa mengira sempadan kaum, agama dan perbezaan fahaman politik. Arus perjuangan baru untuk bangsa sangat diperlukan di saat politik lama masih tegar dianuti oleh segelintir walaupun diberi bungkusan baru. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada rakan-rakan yang masih bersama-sama dengan proses pembungkusan semula tersebut.

Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Bukit Selambau kerana memilih Perubahan dan kerana memilih PKR.

Acara kedua pagi tadi membawa saya ke jamuan rakyat di Pekan Bukit Selambau. Hidangan yang maseh panas dari kawah sangat menyelerakan. Majlis kesyukuran yang serba sederhana ini hendaknya diberkati Allah S.W.T.

Dari Bukit Selambau saya menuju ke Permatang Pauh, mengambil kesempatan menziarahi rakan seperjuangan yang sedang terlantar di Hospital Seberang Jaya. Kelihatannya hospital ini sesak dan perlu ada langkah segera dari kementerian kesihatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yg selesa. Janganlah pula kerana Permatang Pauh sekarang di tangan Pakatan Rakyat pihak kementerian mengabaikan kesejahteraan semua.

Pada sebelah petangnya akan ada mesyuarat bahagian dan perhubungan negeri. Kemenangan pilihanraya kecil tidak boleh dijadikan alasan untuk pendokong PKR leka dan enak diulit khayal. Usaha penerangan serta pemantapan tekad juga iltizam perjuangan perlu diperhebat. Ahli parti perlu diingatkan rasuah dan gagal melaksanakan tanggungjawab hanya akan mengundang kekalahan. Kita tidak perlu kepada mereka yang sengaja menghampakan amanah rakyat.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com