Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kepimpinan MIC seharusnya menemui sendiri perdana menteri jika tidak puas hati dengan pelantikan wakilnya dalam kabinet baru.
Bercakap kepada pemberita di ibunengara pagi, Muhyiddin berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap pihak harus menghormati hak budi bicara Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri untuk melantik anggota kabinetnya.
"Di dalam BN, atas semangat BN, jika mereka pegang prinsip (menghormati) hak budi bicara PM, (maka) elok terima, sudah angkat pun," katanya di majlis penyerahan tugas menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) pagi ini.
Selain jawatan timbalan perdana menteri, Muhyiddin turut dilantik sebagai menteri pelajaran.
Tugasnya di Miti kini disandang oleh Datuk Mustafa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.
Tidak puas hati
Menurut Muhyiddin, perkara itu tidak perlu dibawa ke mesyuarat BN kerana ia boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan perdana menteri.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan MIC - parti komponen ketiga terbesar BN - sedang menimbang untuk menarik keluar wakil parti itu dalam kabinet baru ekoran banyak lagu isu belum diselesaikan, terutama berhubung layanan pentadbiran baru terhadap masyarakat India.
Sumber dalaman MIC dilaporkan berkata, keputusan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat ini, mungkin dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MIC yang akan datang lewat bulan ini.
Menurut sumber itu lagi, sungutan utamanya ialah "masyarakat India masih dilayan sebagai rakyat kelas dua, malah seperti kelas tiga di negara ini".
Di samping itu, wakil MIC dalam kabinet tidak diberi jawatan menteri kanan. Mengikut tradisinya, MIC akan mengisi jawatan menteri kerja raya, tetapi ia telah berubah apabila presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu kalah dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu.
Menteri tunggal MIC dalam kabinet baru ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Dr S Subramaniam yang dilantik semula sebagai menteri sumber manusia.
Parti itu juga diberi dua jawatan timbalan menteri - M Saravanan (Wilayah Persekutuan) dan SK Devamany (Jabatan Perdana Menteri).
Jawatankuasa kabinet
Kementerian sumber manusia, kata sumber tersebut, dianggap sebagai bukan jawatan kanan dalam kabinet dan MIC merasakan ini tidak mencerminkan status parti sebagai parti komponen ketiga terbesar dalam BN.
Sementara itu Muhyiddin juga memberitahu pemberita bahawa beliau telah berbincang dengan perdana menteri untuk mengurangkan jumlah jawatankuasa kabinet sekarang.
Katanya, beliau mencadangkan supaya jumlah 30 hingga 40 jawatankuasa kabinet sekarang, dikurangkan kepada beberapa jawatankuasa sahaja.
Langkah itu, katanya, bertujuan untuk melicinkan urusan pentadbiran dan memastikan setiap perkara dibincangkannya dapat terlaksana.
Katanya, perdana menteri bersetuju agar jumlah jawatankuasa
kabinet diletakkan di bawah kumpulan tertentu, umpamanya bidang
ekonomi diletakkan dalam satu kumpulan dan sosial dalam satu kumpulan.
Sebelum ini, kata Muhyiddin, setiap minggu, menteri perlu menghadiri sehingga empat mesyuarat jawatankuasa kabinet.
"Jumlah jawatankuasa kabinet itu banyak dan semua penting belaka. Kita juga ada urusan lain kita harus laksanakan untuk negara," katanya.
Muhyiddin berkata sebahagian daripada jawatankuasa kabinet tersebut akan dipengerusikan oleh beliau manakala sebahagian lagi akan dipengerusikan oleh perdana menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, MIC akan mengadakan perjumpaan dengan perdana menteri supaya parti itu diberi "lebih kuasa" dalam kabinet kerajaan baru, kata Subramaniam.
Menurut Bernama, beliau berkata MIC perlu diberi peranan yang lebih aktif dalam semua sektor bagi memenuhi tuntutan dan harapan masyarakat India di negara ini.
"Memang ada sedikit kekecewaan dalam pimpinan MIC berkenaan beberapa isu baru-baru ini, semasa pengumuman kabinet baru, MCA mendapat satu tambahan timbalan menteri dan parti Gerakan mendapat satu jawatan menteri, kita (MIC) tak mendapat apa-apa, (itu menimbulkan kekecewaan)," Subramaniam dipetik berkata.
No comments:
Post a Comment