Sekumpulan besar NGO Malaysia terus mendesak badan antarabangsa yang memantau institusi hak asasi nasional di seluruh dunia ICC agar tidak lagi memberikan "status A" kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Penurunan status suruhanjaya itu kepada "B" membawa akibat ia hanya dibenarkan sebagai pemerhati dan tidak boleh menyertai perbahasan di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan "status C" bermakna sama sekali gagal mematuhi Prinsip Paris, syor kebebasan institusi hak asasi di sesebuah negara.
"(Jika Suhakam dikekalkan status A), tindakan ini akan memberikan keabsahan terhadap tindakan kerajaan Malaysia membuat pindaan sewenang-wenangnya tanpa berunding dengan pihak berkepentingan, termasuk NGO, dan juga pindaan (Akta Suhakam) yang bersifat permukaan," kata 46 pertubuhan itu dalam surat yang ditujukan kepada ICC hari ini.
Pada 25 Mac lalu, Parlimen secara tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia bagi membolehkan ia diiktiraf oleh ICC seperti diarahkan sejak April tahun lalu.
Namun, kumpulan NGO itu mempertikaikan pindaan-pindaan tersebut – mengenai pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat perdana menteri – dengan alasan ia tidak memenuhi kehendak ICC yang mahu "proses pelantikan dan pemberhentian anggota Suhakam dibuat secara telus."
"Malah selepas pindaan ini, proses pemilihan (pesuruhjaya) Suhakam masih ditentukan sepenuhnya pada tangan perdana menteri," kata mereka dalam surat kepada pengerusi jawatankuasa kecil semakan akreditasi institusi hak asasi nasional ICC David Langtry.
NGO Malaysia itu juga berkata pindaan tersebut tidak banyak perbezaannya dengan Akta Suhakam 1999 yang dibuat tanpa merujuk masyarakat sivil dan kebebasannya diragui.
Surat itu juga menyebut, sewaktu penilaian penggal hak asasi Malaysia di PPB pada Februari lalu, sekurang-kurangnya empat negara mengesyorkan Suhakam perlu menjadi bebas seperti Prinsip Paris dan meluaskan cakupan kuasanya seperti termaktub dalam piagam Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia.
Tindakan kerajaan membawa rang undang-undang pindaan itu ke Dewan Rakyat sehari sebelum jawatankuasa kecil semakan ICC "menonjolkan lagi betapa lemahnya iltizam kerajaan untuk mengukuhkan dan memajukan Suhakam", surat itu dipetik.
Salinannya diedarkan kepada media.
"Ia jelas sekali menunjukkan bahawa pindaan-pindaan ini dibuat bukan dengan niat untuk mengelokkan Suhakam, tetapi semata-mata untuk mengelakkannya daripada diturunkan status (kepada B)," kata mereka.
"Mengambil kira semua perkara itu, kami berpandangan bahawa Suhakam tidak layak mendapat 'status A', kerana ia masih tidak mematuhi Prinsip Paris walaupun selepas pindaan dibuat."
NGO tersebut termasuklah Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).
No comments:
Post a Comment