20090428

3 ADUN buat laporan polis

KUALA TERENGGANU 14 April - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri ini membuat laporan polis tengah malam tadi selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ancaman terhadap keselamatan mereka.

SMS berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik terbaru di negeri ini.

ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Kuala Berang, kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Ia diikuti ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh yang membuat laporan sama di IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 12.55 tengah malam.

Mereka membuat laporan berkenaan selepas menerima SMS tersebut kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

Abdul Halim ketika ditemui di balai polis itu malam tadi berkata, beliau menerima SMS tersebut yang berbunyi Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?

Beliau mendakwa SMS tersebut diterima daripada individu yang dikenalinya iaitu seorang pegawai kanan kerajaan negeri selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Wakil rakyat itu percaya ia merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada Persidangan DUN selama tiga hari yang berakhir esok.

"Sebagai pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi (kepada) saya sebagai wakil rakyat. Nyawa orang tidak boleh nak ugut. Saya tidak pasti kenapa jadi sasaran," ujarnya.

Katanya, setakat ini tiga ADUN termasuk dirinya menerima ugutan berkenaan dan beliau tidak pasti sekiranya terdapat wakil rakyat lain menerima ugutan sama.

Berikutan itu jelasnya, beliau tidak hadir pada Persidangan DUN hari ini kerana berasa terancam.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com