20090426

DUA TALIAN HAYAT UNTUK BN



BN MENANG
DALAM PRU KE 13:
ANDA PASTI ??


1. Ada dua cara untuk memulih dan mengembalikan kepercayaan rakyat. Pertama dengan melakukan pembaharuan, pembersihan, kecerdikan dan ketelusan dalaman. Kedua, dengan membalas serangan luar melalui jawapan-jawapan dan serangan balas yang bernas dan lojik diterima akal. Kedua-dua cara ini harus dilihat dan dirasai oleh rakyat.

2. Semasa menjadi penal dalam Astro Awani bagi membincangkan Barisan Kabinet Najib-Mahyuddin semalam saya ada menyebut bahawa iklim politik 2009 sebagai tahun-tahun yang penuh dengan peristiwa yang lebih mencabar tetapi terkawal. Ia bergantung kepada kebijaksanaan pihak yang berkuasa mengendalikan kemudi kepercayaan rakyat kepadanya.

3. Seharusnya, pihak peneraju kuasa mempunyai 'advantage' dalam sebarang “political game” sekiranya ia digunakan dengan penuh bijaksana, cerdik dan meyakinkan.

4. Antara peristiwa-peristiwa 2009 yang seharusnya diambil peluang sebaik-baiknya bagi memulihkan kepercayaan rakyat adalah:

- Langkah-langkah reformasi yang dilakukan oleh Pak Lah,
- Pilihanraya kecil terengganu,
- Perhimpunan Agung UMNO,
- Keputusan Pemilihan MKT UMNO,
- Peristiwa Perletakan Jawatan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi,
- Kemasukan Semula Tun Mahathir dalam UMNO,
- Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai,
- Pengumuman Kabinet Baru Najib-Mahyuddin,
- Pengumuman dasar-dasar Perdana Menteri baru,
- Perbicaraan Kes Liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim,
- Kejayaan menangani krisis ekonomi negara.

5. Nampaknya dari senarai peristiwa di atas sehingga pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, rakyat belum memberikan kesan positif yang membolehkan kejayaan di capai oleh kerajaan Persekutuan yang memerintah. BN sudah terlepas peluang-peluang tersebut.

6. Kemasukan semula Tun Mahathir ke dalam UMNO juga belum cukup untuk memberikan “small swing big impact” kepada pilihanraya kecil yang lalu.

7. Maka sesungguhnya pengumuman Kabinet baru ini penting bagi menguruskan “tanggapan” dan “harapan” rakyat kepada barisan yang dipimpin oleh Najib-Mahyuddin.

8. Barisan Kabinet yang baru ini harus menerajui negara dengan penuh kecerdikan, ketelusan, dan memberikan kesan langsung kepada rakyat. Kesan itu mesti cepat. Tempohnya 6 bulan. Jangan lagi “insult intelligent of the people”.


9. Saya sangat tertarik dengan cadangan bagi mengujudkan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI yang berdasarkan input dan hasil. Ianya satu 'report card' untuk para menteri yang diberi tanggungjawab. Tetapi harus diingat rakyat mempunyai petunjuknya sendiri yang bukan sahaja ditujukan kepada menteri-menteri tetapi termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Bagi pihak kerajaan pula saya cadangkan supaya diadakan atau dikemaskinikan lagi Petunjuk Kepercayaan Rakyat kepada pemerintah.

10. Ini penting supaya setiap dasar dan perlaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan dan parti yang memerintah tidak terlalu lewat dinilai. Akhirnya menerima hukuman rakyat. Semuanya terkejut tak sangka!. Ulasan-ulasan ala pengulas sukan sudah terlambat!!.

11. Saya sedar bukan mudah Perdana Menteri untuk membuat Barisan Kabinet Idaman yang beliau kehendaki. Abdullah Badawi sudah mengeluarkan 31 Menteri dan Timbalan Menteri pada rombakan Kabinetnya yang terakhir.

12. Banyak perhitungan yang terpaksa dibuat berasaskan tekanan komponen, keputusan pemilihan UMNO, perimbangan yang baru dan lama, faktor tekanan Sabah dan Sarawak, kaum dan gender, ‘track record’ dan sebagainya. Saya sudah meramalkan bahawa Datuk Seri Najib terikat dengan faktor-faktor diatas dalam membuat keputusan di atas. Cuma 20% muka baru yang mampu dipilih.

13. Tidak ada pengecutan kementerian yang ketara. Menteri dikurang dan timbalannya di tambah. Hampir separuh daripada ahli-ahli parlimen BN berjawatan menteri dan timbalan. Ini penting untuk mempastikan tawaran Anwar Ibrahim untuk menarik ahli lompat tidak berjaya.

14. Apa yang mengembirakan saya adalah percantuman Kementerian Penerangan dengan komunikasi dan kebudayaan dan kesenian. Bukan sangat aspek kebudayaan, tetapi cantuman penerangan dan komunikasi.

15. Selama ini stesen-stesen TV swasta menganggap Menteri Penerangan sebagai menteri RTM. Oleh yang demikian banyak majlis-majlis dan kenyataan menteri penerangan hanya disiarkan oleh RTM. Suasana ini akan berubah apabila ‘sentuhan Rais’ dianggap penting dalam masa kerajaan menghadapi serangan dan ‘perang psikoloji’ dari luar kerajaan. Beliau diyakini boleh melakukannya.

16. Ada dua isu penting sebelum pilihanraya ke 13 memalukan gendang perangnya. Kes Liwat Anwar Ibrahim dan kesan langsung dari kejayaan kerajaan menghadapi krisis ekonomi. Mana yang bilion-billion diumumkan dulu cepatlah diturunkan melalui pengurangan karenah birokrasi dan penghapusan ketirisan. Rakyat mahu rasa perubahan dalam persekitaran kehidupannya.

17. Satu kejayaan besar ketua pembangkang itu adalah menimbulkan keraguan terhadap institusi-institusi penting yang melibatkan kesetiaan, kepentingan dan keyakinan rakyat. Antaranya institusi Kehakiman, institusi Penguatkuasaan dan institusi eksekutif dan terakhir institusi Agama dan Raja. Semua institusi ini sudah jadi tak betul belaka.

18. Rakyat telah mempunyai tanggapan bahawa apa yang datang dari pemerintah atau parti yang menyokongnya adalah tidak betul, fitnah dan konspirasi. Dan apa yang datangnya dari Pembangkang adalah betul, sahih dan mangsa konspirasi. Banyak sekali peristiwa-peristiwa ini seperti yang terlihat dalam skandal ahli-ahli politik di Selangor, Perak dan Kedah.

19. Saya berpendapat bahawa rakyat tidak akan percaya dalam Kes Liwat Anwar Ibrahim walau bagaimana teluspun mahkamah cuba berbuat demikian. Walaupun mungkin ada rakaman videonya rakyat tidak akan percaya. Saya kata mungkin sebab saya sendiri tak tahu cerita yang sebenarnya. Video pun boleh disunting-sunting, kata mereka. Hebat betul pengaruh Anwar ni..


20. Tanpa prejudis mengulas kes ini, kesannya adalah kepada penghakisan kuasa BN yang hanya tinggal satu lagi talian hayat sebelum tirai Barisan Nasional dilabuhkan. Jika tidak, bagaimana caranya untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada institusi-institusi ini dalam masa yang terdekat ?.


21. Cuma apa yang boleh saya nasihatkan, sesiapa ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang yang ada kes sakit jantung tolong tangguhkan main badminton sehingga selepas Pilihanraya yang ke 13. Menyusahkan..!!

22. Saya bukanlah orang penting yang boleh diajak berbincang, maka yang demikian saya sampaikan melalui blog ini sebagai saluran terbaik dan ikhlas dari saya untuk diketahui umum termasuk pemimpin penting yang bertanggungjawab.

23. Apa lagi peluang pihak kerajaan untuk mengembalikan kepercayaan ini ?. Isu Ekonomi. Isu ini penting bagi masyarakat peniaga khususnya orang-orang Cina. Itulah sebab agaknya Datuk Seri Najib memberikan satu tumpuan khusus dalam menangani krisis ini dengan penuh iltizam dan serius.

24. Berdasarkan pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, sokongan masyarakat Melayu nampak meningkat. Ini memberikan sedikit harapan dalam suasana yang tidak menentu ini. Tetapi ia belum begitu memberangsangkan. Cina lebih selesa dengan janji-janji 999 tahun pemilikan tanah kerajaan negeri Perak yang lama. Dan UMNO tidak dapat memberikan jawapan balas yang cerdik dan berkesan.

25. Jika Datuk Seri Najib berjaya menangani isu ini dan keluar dengan cemerlang diakhir tahun 2009 ini, saya percaya masyarakat Cina akan kembali bertaut kepada Barisan Nasional. Gabungan mantap Najib-Husni di kementerian kewangan diyakini akan melepasi rintangan hebat ekonomi yang jarang sekali dihadapi dunia diabad ini.

26. Saya sedar ada sahabat saya dalam kabinet yang tidak senang kepada ulasan-ulasan terus terang dari blog dan media letronik saya kepada masyarakat mengenai prestasi mereka. Tetapi saya doakan beliau akan terus berjaya. Tetapi percayalah, ubat yang pahit lagi mujarab lebih baik daripada gula yang manis tapi menyakitkan. Ulasan tersebut dibuat kerana saya sayang kepada Agama dan bangsa saya. Terimalah dari yang ikhlas ini..

http://dakwat-kertas.blogspot.com

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com