20090425

Peningkatan Kadar Jenayah Membimbangkan

Saya terkesan sewaktu dimaklum akan peningkatan kadar jenayah yang mendadak. Tatkala rakyat berdepan dengan kemelesetan ekonomi, ancaman jenayah dan salah laku semestinya menggugat keselamatan.

Kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur bahawa kadar jenayah ragut naik sebanyak 99% dalam tempoh empat bulan pertama berbanding tempoh untuk tahun lalu cukup mengejutkan. Ini bermakna kenaikan sebanyak 600 kes, dari 606 tahun lalu kepada 1206 kes pada tahun ini, dan ini merupakan rekod antara bulan Januari sehingga April!

Sekiranya kenaikan tersebut mengejutkan, pastinya ia membuatkan kita bingung dan kecewa. Apa tidaknya, jenayah samun berkumpulan tanpa senjata api mencatatkan kenaikan sebanyak 80.5% bersamaan 1,005 kes. Untuk tempoh empat bulan pertama tahun lepas, 1,249 kes dicatat, manakala untuk tempoh yang sama tahun ini mencatatkan 2,254 kes. Barangkali kenaikan kadar jenayah ini boleh dicatatkan sebagai satu pencapaian dalam The Malaysian Book of Records!

Seringkali kita didendang dengan jaminan keselamatan yang diberikan kepada rakyat Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri serta institusi keselamatan, pun demikian kadar jenayah yang dicatatkan untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja jelas menunjukkan jaminan itu belum lagi sepenuhnya tertunai.

Saya percaya, seandainya keupayaan institusi keselamatan digunakan untuk memerangi jenayah sepenuhnya — dan tidak dijadikan perkakas untuk membelenggu mereka yang berlainan pendapat dengan elit penguasa — maka keamanan dan ketenteraman dalam negara pastinya dapat dipulihkan.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com