20090422

Huru-hara: Tiada kompromi

BATU GAJAH 16 April - Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dan menggugat ketenteraman awam di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sesiapa sahaja yang cuba melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan tindakan tegas mengikut segala peraturan yang ada.

Katanya, semua pihak mesti bertanggungjawab dan jangan sesekali cuba menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan artikel berunsur hasutan menerusi Internet seperti blog semata-mata untuk mencetuskan suasana tidak sihat.

''Kalau ada rancangan oleh sesiapa sahaja untuk menghuru-hara negeri ini kita akan ambil tindakan tegas.

''Kalau ada yang tidak puas hati mereka boleh menggunakan saluran yang betul dan tidak menggunakan saluran kekerasan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara sempena Hari Kor Kadet Polis Ke-39 di Podium Majlis daerah Kinta Barat (MDKB) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dalam lidah rasmi Pas, Harakah Daily pada 11 April lalu bahawa tunjuk perasaan berdarah yang berlaku di Pattaya mungkin berlaku di Perak jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan.

Zulkifli berkata, pihaknya akan memastikan rakyat negeri ini dapat menjalankan aktiviti harian dengan aman dan tenteram tanpa sebarang gangguan.

''Kita tidak mahu ada cubaan yang boleh menggugatkan ketenteraman di negeri ini.

''Polis tidak akan membenarkan perkara itu berlaku seperti kejadian rusuhan di Kuala Kangsar," tegasnya sambil menambah keadaan ketenteraman awam di negeri ini adalah terkawal.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan menyokong penubuhan kadet polis di sekolah-sekolah yang mempunyai komposisi kaum Cina dan India di negeri ini.

Tambahnya, ini kerana penyertaan kaum tersebut di dalam kadet polis di negeri ini masih rendah berbanding kaum Melayu.

''Aktiviti kokurikulum ini perlu kerana ia dapat menanamkan semangat cintakan negara di peringkat awal di sekolah.

''Semangat yang ada dalam diri mereka itu akan menjadikan mereka bertanggungjawab dan amanah, ia akan membawa kebaikan kepada negara," katanya.

Menurut Zulkifli, elemen tersebut penting kerana apabila mereka dewasa akan membawa nilai-nilai hidup yang baik kepada bangsa dan negara.

Perak mempunyai 6,426 anggota kadet membabitkan 189 platun di 235 buah sekolah di negeri ini.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com